Biri-biri
| Biri-biri | |
|---|---|
| Sekawan biri-biri | |
Dibelajinakkan
| |
| Pengelasan saintifik | |
| Domain: | Eukaryota |
| Alam: | Haiwan |
| Filum: | Chordata |
| Kelas: | Mammalia |
| Keluarga: | Bovidae |
| Subkeluarga: | Caprinae |
| Genus: | Ovis |
| Spesies: | O. aries
|
| Nama binomial | |
| Ovis aries Linnaeus, 1758
| |
Biri-biri, bebiri atau domba (k. lama., Ind. - nama spesies: Ovis aries) merupakan sejenis mamalia ruminan berkaki empat yang biasa dipelihara sebagai ternakan. Seperti semua ruminan, biri-biri adalah ahli order Artiodactyla, ungulat berjari genap. Biarpun banyak ahli genus Ovis memakai gelaran biri-biri, dalam bahasa seharian gelaran biri-biri hanya untuk Ovis aries. Dengan bilangan lebih satu bilion ekor, biri-biri bela jinak adalah spesies biri-biri yang paling banyak.
Kambing biri-biri barangkali keturunan mouflon di Eropah dan Asia. Antara haiwan terawal yang dibelajinakkan untuk tujuan pertanian, biri-biri dipelihara untuk bulu, daging dan susu. Bulu biri-biri adalah gentian haiwan yang paling laris digunakan, selalunya diperoleh dengan mencukur. Biri-biri masih penting kini untuk bulu dan daging, malah juga dibela untuk kulit, susu dan kajian sains.
Penternakan biri-biri diamalkan di seluruh dunia, malah merupakan asas kepada banyak tamadun. Pada zaman moden, Australia, New Zealand, negara-negara Amerika Selatan, dan Kepulauan British paling dikaitkan dengan pengeluaran biri-biri.
Sebagai haiwan penting dalam sejarah pertanian, biri-biri mantap dalam budaya manusia dan cukup berpengaruh dalam bahasa dan perlambangan moden. Biri-biri sebagai ternakan paling berkait rapat dengan gambaran pastoral dan kesyurgaan. Biri-biri banyak terdapat dalam mitos dan agama, terutamanya agama-agama Ibrahim. Biri-biri dijadikan haiwan korban dalam upacara keagamaan zaman dahulu hingga sekarang, contohnya Aidiladha.