Zoo Melaka
2°16′40″N 102°18′6″E / 2.27778°N 102.30167°E
| Zoo Melaka & Taman Burung زو ملاک & تامن بوروڠ | |
|---|---|
Pintu masuk utama ke Zoo Melaka dan Taman Burung | |
| Tarikh dibuka | 19 Julai 1964 (sebagai Taman Binatang Melaka) 13 Ogos 1987 (sebagai Zoo Melaka) |
| Lokasi | Ayer Keroh, Melaka Malaysia |
| Keluasan tanah | 54 ekar (22 he) |
| Bil. haiwan | 673 (setakat 2021) |
| Bil. spesies | 121 (setakat 2021) |
| Keahlian | ISO 9001:2000, SEAZA, MAZPA |
| Pemilik | Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya |
| Tapaksesawang | www |
Zoo Melaka & Taman Burung (disingkatkan sebagai Zoo Melaka) ialah sebuah fasiliti di mana pelbagai spesis flora dan fauna ditempatkan bagi tujuan pendedahan dan pendidikan kepada orang ramai dan menjadi tempat konservatif sama ada dibiakkan untuk tujuan pemuliharaan atau perlindungan hidupan liar terutamanya spesis yang hampir pupus. Zoo ini berkeluasan 54 ekar serta bersempadan dengan Taman Botanikal Melaka di bahagian utara, Tasik Ayer Keroh dan padang golf milik Ayer Keroh Golf & Country Club di bahagian selatan, kawasan hutan di bahagian barat dan muzium Malaysia Heritage Studios (dulu dikenali dengan nama Taman Mini Malaysia dan ASEAN) di bahagian timur. Zoo Melaka diiktiraf sebagai zoo kedua terbesar di Malaysia serta merupakan tarikan pelancongan rekreasi paling tertua di negeri Melaka.
Setakat Januari 2024, terdapat lebih daripada 1,200 ekor haiwan daripada 214 spesis berada di dalam zoo ini di mana kebanyakkan haiwan berasal dari kawasan Asia Tenggara, Afrika dan Australia. Antara spesis haiwan yang berjaya dibiakkan di Zoo Melaka seperti Beruang Matahari (Helarctos malayanus) dan Ungka Tangan Putih (Hylobates lar). Selain itu, zoo ini juga pernah dijadikan sebagai lokasi rintis pembiakan spesis Harimau Malaya pada tahun 2022.
Kerajaan Negeri Melaka bertindak sebagai pemilik dan menguruskan operasi Zoo Melaka ketika ianya dibuka sebagai Taman Binatang Melaka pada tahun 1964. Pada tahun 1979, pengurusan Zoo Melaka telah diambil alih oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) daripada Kerajaan Negeri Melaka.
Pada 1 Januari 2013, pengurusan Zoo Melaka dikendalikan oleh syarikat swasta, Konsortium KKW Sdn. Bhd. dan dijenamakan kepada Zoo Melaka dan Safari Night, namun pada 1 Oktober 2018, ianya telah berpindah milik kembali kepada kerajaan negeri melalui Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ). Zoo Melaka dipilih antara lokasi pelancongan pada waktu tengah malam menerusi program Tahun Melawat Melaka 2024, di mana waktu operasi zoo dilanjutkan sehingga pukul 1 pagi.