Taman Mini Malaysia dan ASEAN

2°16′50.5″N 102°18′02.3″E / 2.280694°N 102.300639°E / 2.280694; 102.300639

Mini Malaysia and ASEAN
Cultural Park
ASEAN تامن ميني مليسيا دان
Pintu masuk ke MMACP
JenisTaman rekreasi/kebudayaan
LokasiAyer Keroh, Melaka, Malaysia
Dibuka pada
17 Julai 1986
(Taman Mini Malaysia)
3 September 1991
(Taman Mini ASEAN)
Dimiliki oleh
Perbadanan Melaka (MCORP)
Dikendalikan olehKenako Events & Management Sdn. Bhd.
StatusDijenamakan semula kepada Malaysia Heritage Studios
Kos pembinaanM$5.5 juta
sunting

Taman Mini Malaysia dan ASEAN (nama rasmi: Mini Malaysia and ASEAN Cultural Park, disingkatkan sebagai MMACP) ialah sebuah taman tema bercirikan kebudayaan yang terdapat di Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN. Taman ini terletak di Ayer Keroh di negeri Melaka di mana ianya bertempat kira-kira satu kilometer dari Plaza Tol PLUS Ayer Keroh dan bersebelahan dengan Zoo Melaka. Taman ini dikelilingi dengan kawasan hutan hujan tropika.

MMACP dibahagikan kepada dua bahagian berdasarkan kepada tema dan tarikh pembukaannya. Seksyen Mini Malaysia atau Taman Mini Malaysia mula dibuka pada 17 Julai 1986, mempamerkan rumah tradisional dan hasil kraf tangan asli dari kesemua negeri dalam Malaysia. Seksyen Mini ASEAN atau Taman Mini ASEAN pula mempamerkan rumah tradisional dari beberapa negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN), mula dibuka pada 3 September 1991. Selain daripada itu, antara perkhidmatan yang disediakan di MMACP termasuklah bermalam di hostel, bermesyuarat dan mengadakan majlis perkahwinan.

Kawasan Taman Mini Malaysia dan ASEAN dimiliki oleh Perbadanan Melaka (MCORP) (dahulunya dikenali sebagai Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka) iaitu sebuah agensi di bawah Kerajaan Negeri Melaka dan diuruskan oleh syarikat swasta, Kenako Events & Management Sdn. Bhd. Pada tahun 2024, MMACP dijenamakan semula sebagai Malaysia Heritage Studios di bawah pengurusan baharu ekoran terdapat aduan yang mengatakan bahawa MMACP tidak diuruskan dengan baik serta banyak fasiliti yang tidak diselenggara dan tidak selamat untuk digunakan. Walaupun penjenamaan semula ini mengekalkan taman tema bercirikan kebudayaan seperti yang dibawa oleh MMACP, namun ia menawarkan pengalaman yang agak berbeza.