Studio Warisan Malaysia

2°16′50.5″N 102°18′02.3″E / 2.280694°N 102.300639°E / 2.280694; 102.300639

Malaysia Heritage Studios
ستوديو واريثن مليسيا
Pintu depan Malaysia Heritage Studios
JenisTaman rekreasi/kebudayaan
LokasiAyer Keroh, Melaka, Malaysia
Dibuka pada
5 Februari 2024
Dimiliki oleh
Perbadanan Melaka (MCORP)
StatusBeroperasi
Kos pembinaanMYR20 juta
Laman sesawang
www.malaysiaheritagestudios.com
sunting

Studio Warisan Malaysia (nama rasmi: Malaysia Heritage Studios) ialah sebuah taman tema yang mempamerkan hasil seni berdasarkan kepada elemen-elemen warisan dan berkonsepkan pendidikan dalam memberi pendedahan terhadap budaya dan warisan yang terdapat di Malaysia. Taman ini terletak di Ayer Keroh dalam negeri Melaka di mana ianya bertempat kira-kira satu kilometer dari Plaza Tol PLUS Ayer Keroh.

Antara tarikan utama yang terdapat di taman ini ialah "Rumah 13 Negeri" iaitu pameran rumah kampung yang dibina berdasarkan kepada budaya yang terdapat dari 13 buah negeri yang membentuk Malaysia. Di dalam setiap rumah kampung ini, terdapat hasil seni yang menggambarkan ciri-ciri warisan yang terdapat di negeri tersebut. Selain itu, beberapa karakter lagenda dari cerita-cerita tradisional seperti Sang Kelembai dan Naga Tasik Chini turut dipersembahkan dalam bentuk paparan digital.

Malaysia Heritage Studios merupakan penjenamaan semula dari Taman Mini Malaysia dan ASEAN yang mula dibuka pada tahun 1986. Pada ketika itu, ia mempamerkan 13 rumah mini yang mewakili setiap negeri di Malaysia serta rumah mini setiap negara yang menyertai ASEAN. Taman Mini Malaysia dan ASEAN diuruskan oleh pengurusan swasta namun ia dimiliki oleh agensi kerajaan negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM). Pada tahun 2024, taman Malaysia Heritage Studios dibuka secara rasmi dengan pengurusan baharu serta menampilkan perbezaan yang ketara dari segi pameran dan pendedahan berbanding Taman Mini Malaysia sebelumnya.