Suatu alat tiupan seumpama serunai akan ditiup oleh Malaikat Israfil sebelum Hari Kiamat menurut ajaran Islam berdasarkan hadis nabawi disampaikan Muhammad mengenai kejadian ini; catatan hadis disebut ini sering memberi nama Ṣur (الصُّور aṣ-ṣūr). Diriwayatkan tiupan malaikat Israfil ini adalah sebanyak tiga (3) kali tiupan iaitu:
- Tiupan sangkakala pertama - (Tiupan mengejutkan)
- Tiupan sangkakala kedua - (Tiupan mematikan)
- Tiupan sangkakala ketiga - (Tiupan membangkitkan)
Ada sesetengah ilmuwan yang menafsirkan alat bernama ṣūr ini sebagai suatu "tanduk yang ditiupkan ke dalamnya" (قرن ينفخ فيه qarn yunfakhu fīhi) atau "trompet" (Arab: بوق, rumi: būq). Terjemahan hadis-hadis berkaitan dalam bahasa Melayu baik yang baku Malaysia atau baku Indonesia lazim menggunakan padanan "sangkakala", iaitu suatu kata merujuk alat tiupan yang dahulunya digunakan dalam upacara agama tertentu dalam kalangan penutur bahasa Melayu sebelum tibanya Islam ke rantau mereka.