Sabuk sinaran Van Allen

Sabuk sinaran Van Allen (Inggeris: Van Allen radiation belt) ialah salah satu daripada sekurang-kurangnya dua lapisan zarah bercas bertenaga (plasma) yang ditetapkan di sekeliling Bumi oleh medan magnet Bumi. Sabuk ini merentang daripada altitud kira-kira 1,000 hingga 60,000 kilometer di atas permukaan Bumi, dan dalam kawasan ini tahap radiasi berubah-ubah. Kebanyakan zarah yang membentuk sabuk ini dikatakan berasal daripada angin suria dan zarah-zarah lain daripada sinar kosmos. Sabuk-sabuk ini dinamakan bersempena nama penemunya, James Van Allen, dan terletak di dalam magnetosfera Bumi. Sabuk-sabuk ini mengandungi elektron-elektron bertenaga yang membentuk sabuk luaran dan campuran proton-proton dan elektron-elektron yang membentuk sabuk dalaman. Sabuk sinaran juga mengandungi sedikit nukleus jenis lain, seperti zarah alfa. Sabuk ini mengancam satelit-satelit yang perlu melindungi komponen-komponen sensitif masing-masing dengan pelindung yang bersesuaian sekiranya orbitnya melalui sabuk sinaran dalam jangka masa yang lama. Pada tahun 2013, NASA melaporkan bahawa Prob-prob Van Allen telah menemui sabuk sinaran ketiga sementara yang diperhatikan selama empat minggu sehingga ia dimusnahkan oleh gelombang kejut antara planet yang kuat dari Matahari.