Perunggit
Tuanku Panglima Perunggit, yang juga bergelar Kejuruan Padang, ialah pemerintah kedua (1641-1700) Kesultanan Deli (sekarang di Sumatera Utara, Indonesia). Baginda meneruskan pemerintahan ayahandanya Tuanku Panglima Gocah Pahlawan, sebagai panglima perwakilan (wali negara) Kesultanan Aceh yang memerintah di bekas wilayah Kerajaan Aru yang telah ditaklukkan. Nama bondanya ialah Putri Nang Bulan beru Surbakti, adinda perempuan datuk Sunggal, Datuk Itam Surbakti, salah seorang pemerintah (Karo: raja urung) suku Karo di Deli Tua.
Kerana pengaruh Kesultanan Aceh kemudian melemah di berbagai-bagai daerah di Sumatera, Perunggit mengambil kesempatan untuk membuat Deli merdeka dan berdaulat. Baginda mula mendapat sokongan dari Syarikat Hindia Timur Belanda di Melaka, dan pada tahun 1667 menghantar utusan langsung ke ibu pejabatnya di Batavia. Pada tahun 1669, Perunggit mengumumkan bahawa Deli bebas dari kekuasaan Aceh.
Perunggit berkahwin dengan adinda perempuan datuk Sukapiring. Selepas baginda mangkat, pemerintahannya diteruskan oleh anakandanya, Tuanku Panglima Paderap.