Penyakit arteri periferi

Penyakit arteri periferi
Nama lain
Penyakit vaskular periferi, penyakit sumbatan arteri periferi, arteriopati obliteratif periferi
Sebuah ulser kekurangan arteri berlaku pada seorang yang menghidapai penyakit arteri periferi pada tahap teruk
PengkhususanRadiologi intervensi, pembedahan vaskular
GejalaKesakitan di batang kaki apabila berjalan dan berkurangan apabila rehat, ulser kulit, kulit kebiruan, kulit bersuhu rendah
KerumitanJangkitan, amputasi
PuncaAterosklerosis, kekejangan arteri
Merokok, diabetes, tekanan darah tinggi, aras kolesterol darah tinggi.
Indeks buku lali-brakium < 0.90, ultrasonografi dupleks, angiografi
RawatanPemberhentian merokok, terapi sukan berpantauan, pembedahan
Rawatan perubatan
Statin, perencat ACE, silostazol
Kekerapan155 juta (2015)
Kematian52,500 (2015)
sunting

Penyakit arteri periferi (PAD) ialah penyempitan tak normal yang berlaku pada arteri periferi selain daripada arteri yang membekalkan nutrisi ke jantung atau otak. Apabila penyempitan berlaku di jantung, ia dipanggil penyakit arteri koronari, jika berlaku di otak pula ia dipanggil penyakit serebrovaskular. Penyakit arteri periferi paling kerap menjejaskan batang kaki, tetapi arteri lain seperti yang berada lengan, leher atau buah pinggang juga mungkin terlibat. Simptom klasik terlibat ialah kesakitan pada batang kaki apabila berjalan dan kemudian reda selepas rehat, yang turut dikenali sebagai klaudikasi selangan. Antara gejala-gejala lain termasuk ulser kulit, kulit kebiruan, kulit sejuk, atau pertumbuhan kuku dan rambut tidak normal pada batang kaki yang terjejas. Antara komplikasi terlibat mungkin termasuk jangkitan atau kematian tisu yang mungkin memerlukan amputasi; penyakit arteri koronari, atau strok. Sehingga 50% penghidap PAD tidak mempunyai simptom.

Faktor risiko terbesar untuk PAD ialah merokok. Faktor risiko lain termasuklah diabetes, tekanan darah tinggi, masalah buah pinggang dan aras kolesterol darah tinggi. Mekanisme asas penyakit arteri periferi yang paling biasa dijumpai ialah aterosklerosis, terutamanya pada individu yang berumur melebihi 40 tahun. Mekanisme lain termasuk kekejangan arteri, pembekuan darah, trauma, displasia fibrootot, dan vaskulitis. PAD biasanya didiagnosis dengan mengukur indeks buku lali-brakium (ABI), yakni tekanan darah sistolik pada buku lali dibahagikan dengan tekanan darah sistolik lengan, dengan nilai indeks tersebut kurang daripada 0.90. Ultrasonografi dupleks dan angiografi juga boleh digunakan. Angiografi adalah lebih tepat dan membolehkan rawatan pada masa yang sama; namun, ia dikaitkan dengan risiko yang lebih besar.

Saringan penyakit arteri periferi di kalangan orang yang tiada gejala tidak dapat dipastikan kebergunaannya kerana ia tidak dikaji secara mendalam. Bagi mereka yang mengalami klaudikasi selangan, pemberhentian merokok dan terapi senaman terselia meningkatkan keberhasilan. Ubat-ubatan, termasuk statin, perencat ACE dan sitostazol juga mungkin membantu. Aspirin tidak kelihatan membantu mereka yang menghidapi penyakit pada tahap ringan tetapi biasanya disyorkan kepada mereka yang mempunyai penyakit pada tahap yang lebih ketara kerana terdapat peningkatan risiko serangan jantung. Antikoagulan seperti warfarin biasanya tidak memberi manfaat. Prosedur yang digunakan untuk merawat penyakit ini termasuk penggraftan pintasan, angioplasti, dan aterektomi.

Pada 2015, kira-kira 155 juta orang menghidapi PAD di seluruh dunia. Penyakit ini menjadi semakin biasa dihidapi seiring dengan peningkatan usia. Di negara-negara maju, penyakit ini menjejaskan kira-kira 5.3% di kalangan mereka berusia 45 hingga 50 tahun, serta 18.6% di kalangan mereka berusia 85 hingga 90 tahun. Di negara membangun, ia menjejaskan 4.6% di kalangan orang yang berumur antara 45 dan 50, serta 15% di kalangan orang yang berumur antara 85 dan 90 tahun. Tiada perbezaan kekerapan berlakunya PAD antara lelaki dan perempuan di negara-negara maju, walaupun di negara membangun wanita lebih kerap terjejas. Pada tahun 2015 PAD mengakibatkan kira-kira 52,500 kematian, iaitu peningkatan daripada 16,000 kematian pada tahun 1990.