Paus Franciscus
| Paus Franciscus | |
|---|---|
| Uskup Rom | |
Franciscus pada tahun 2014 | |
| Gereja | Gereja Katolik |
| Kepausan bermula | 13 Mac 2013 |
| Kepausan tamat | 21 April 2025 |
| Pendahulu | Benediktus XVI |
| Pengganti | Leo XIV |
| Jawatan terdahulu |
|
| Tahbisan | |
| Pentahbisan imamat | 13 Disember 1969 |
| Pentahbisan episkopal | 27 Jun 1992 |
| Dilantik sebagai kardinal | 21 Februari 2001 |
| Butiran peribadi | |
| Nama lahir | Jorge Mario Bergoglio |
| Kelahiran | 17 Disember 1936 Buenos Aires, Argentina |
| Meninggal dunia | 21 April 2025 (umur 88) Domus Sanctae Marthae, Kota Vatikan |
| Dikebumikan | Santa Maria Maggiore, Rom, Itali |
| Pendidikan |
|
| Moto | Miserando atque eligendo ("Dengan belas kasihan dan memilih") |
| Tandatangan | |
| Lambang kebesaran | |
| Gelaran kepausan Paus Franciscus | |
|---|---|
| Rujukan gelaran | Tuan Yang Terutama Sri Paus |
| Gaya percakapan | Tuan Paus |
| Gaya keagamaan | Bapa Suci |
Paus Franciscus (Itali: Francesco, Sepanyol: Francisco; nama sebenar: Jorge Mario Bergoglio; 17 Disember 1936 – 21 April 2025) ialah ketua Gereja Katolik dan ketua negara Kota Vatikan dari tahun 2013 hingga tahun 2025. Beliau merupakan paus pertama dari Persatuan Yesus (S.J. atau Jesuit), paus pertama dari Amerika Latin, paus pertama dari benua Amerika, paus pertama dari Hemisfera Selatan dan paus pertama yang lahir atau dibesarkan di luar Eropah sejak Paus Gregorius III pada abad ke-8.
Bergoglio dilahirkan di Buenos Aires, Argentina. Beliau menyertai Persatuan Yesus pada tahun 1958 selepas pulih daripada sakit dan telah ditahbiskan sebagai paderi Katolik pada tahun 1969. Dari tahun 1973 hingga 1979, beliau berkhidmat sebagai pemimpin wilayah Jesuit di Argentina. Beliau telah dilantik sebagai Uskup Agung Buenos Aires pada tahun 1998 dan menjadi kardinal pada tahun 2001 di bawah pemerintahan Paus Ioannes Paulus II.
Selepas peletakan jawatan Paus Benedictus XVI pada 28 Februari 2013, konklaf kepausan telah memilih Bergoglio sebagai paus baharu pada 13 Mac. Beliau memilih nama Franciscus sebagai penghormatan kepada Santo Fransiskus dari Assisi. Sepanjang kepimpinannya, beliau banyak menekankan nilai belas kasihan, keadilan sosial serta dialog antara agama. Beliau turut membuat keputusan untuk tinggal di rumah tamu Domus Sanctae Marthae dan bukannya di apartmen paus tradisional di Istana Apostolik.
Franciscus turut mencatat sejarah apabila melantik beberapa wanita sebagai ahli penuh dalam beberapa dikasteri utama dalam Kuria Rom. Beliau menunjukkan pendekatan yang lebih terbuka dan penyayang terhadap individu LGBTQ termasuk menyatakan bahawa pemberkatan boleh diberikan kepada individu secara peribadi termasuk mereka dalam komuniti LGBTQ, namun pemberkatan kepada pasangan sejenis tetap tidak dibenarkan dalam konteks rasmi gereja. Beliau juga lantang bersuara mengenai isu-isu global seperti ketidaksamaan ekonomi, pemeliharaan alam sekitar dan penentangannya terhadap hukuman mati yang beliau anggap sebagai tidak boleh diterima dalam mana-mana keadaan. Beliau menyeru agar hukuman mati di seluruh dunia dihapuskan.
Dalam hal ehwal antarabangsa, Fransiscus kerap memberi pandangan terhadap perkembangan politik semasa termasuk kebangkitan populisme dan menyuarakan sokongan terhadap usaha penyahkriminalan homoseksualiti. Beliau memainkan peranan penting dalam pemulihan hubungan diplomatik antara Amerika Syarikat dan Cuba serta memeterai perjanjian dengan China berkaitan pelantikan uskup. Beliau juga menggesa dialog berterusan dalam konflik Israel–Palestin, menandatangani perjanjian dengan Negara Palestin dan memberi respons terhadap krisis kemanusiaan di Gaza. Beliau turut menekankan kepentingan perlindungan migran dan menyentuh isu dasar imigresen di pelbagai negara. Pada tahun 2022, beliau memohon maaf secara terbuka atas peranan Gereja Katolik dalam sistem sekolah berasrama yang kontroversi di Kanada. Selain itu, beliau menganjurkan Sinod Mengenai Sinodaliti yang dianggap sebagai satu peristiwa bersejarah dalam usaha membawa perubahan dalam Gereja Katolik.
Franciscus mati pada 21 April 2025 pada usia 88 tahun akibat strok dan kegagalan sistem peredaran darah. Kemunculan terakhir beliau di khalayak ramai adalah semasa sambutan Hari Paska, sehari sebelum pemergiannya.