Padang Kota Lama
| Padang Kota Lama 旧关仔角 (Cina) | |
|---|---|
| Bandar di GeorgeTown | |
| Tarikh dibuka: | 1786 |
| Pemilik: | Majlis Bandaraya Pulau Pinang |
| Lokasi: | Jalan Tun Syed Sheh Barakbah dan Jalan Esplanade George Town, Pulau Pinang, Malaysia |
| Jenis | Budaya |
| Kriteria | ii, iii, iv |
| Ditetapkan | 2008 (Mesyuarat ke-32 Jawatankuasa Warisan Dunia) |
Sebahagian daripada | Zon Teras George Town UNESCO |
No. rujukan | 1223 |
| Rantai | Asia-Pasifik |
Padang Kota Lama ialah sebuah dataran bandar di tepi laut yang terletak di tengah-tengah George Town dalam negeri Pulau Pinang, Malaysia. Ia merangkumi padang bersebelahan dengan Kota Cornwallis, yang dikenali secara tempatan sebagai Padang, dan juga kawasan persiaran di tepi laut sepanjang padang tersebut. Dewan Bandaraya menghadap ke arah Padang, manakala Tugu Peringatan turut terletak di sepanjang persiaran.
Padang Kota Lama merupakan tapak bagi peristiwa penting dalam sejarah Pulau Pinang; di sinilah Kapten Francis Light, pengasas George Town, mula-mula mendarat pada 17 Julai 1786. Setelah mengambil alih pemilikan Pulau Pinang (ketika itu dikenali sebagai Pulau Prince of Wales) bagi pihak Empayar British, kawasan Padang Kota menjadi lokasi pertama yang dibersihkan oleh Light, manakala Kota Cornwallis dibina di sebelah timur kawasan itu.
Padang yang telah dibersihkan itu kemudiannya digunakan sebagai kawasan kawad tentera sebelum ia digunakan untuk rekreasi dan sukan bermula pertengahan abad ke-19. Reka bentuk perancangan Padang ini adalah serupa dengan Padang, Singapura dan Dataran Merdeka di Kuala Lumpur. Pada masa kini, Padang Kota Lama menjadi tempat utama bagi sambutan perayaan dan aktiviti kebudayaan di Pulau Pinang.