Matlamat Pembangunan Mampan
Matlamat Pembangunan Mampan atau Matlamat Pembangunan Lestari (Inggeris: Sustainable Development Goals, SDGs) terdiri daripada 17 Matlamat yang asuk dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam Perhimpunan Agung PBB pada September 2015, di New York, Amerika Syarikat untuk dicapai pada 2030 sebagai agenda demi pembangunan dan kemaslahatan manusia dan Bumi. Matlamat ini merupakan kesinambungan daripada Matlamat Pembangunan Milenium yang berakhir pada 2015 dan sebahagian daripada Resolusi 70/1 Perhimpunan Agung PBB, Agenda 2030.
17 Matlamat ini diperincikan dengan sasaran, dengan beberapa petunjuk di bawahnya sebagai batu ukur pencapaian. Secara amnya, sasaran mempunyai tarikh akhir 2030, walaupun ada yang tidak mempunyai tarikh tamat.
Dalam 17 Matlamat ini, terdapat isu rentas disiplin dan sinergi antara matlamat yang berbeza; contohnya, bagi SDG 13 mengenai tindakan iklim, IPCC melihat sinergi yang teguh dengan SDG 3 (kesihatan), 7 (tenaga bersih), 11 (bandar dan komuniti), 12 (penggunaan dan pengeluaran bertanggungjawab) dan 14 (lautan). Sebaliknya, pengkritik dan pemerhati juga telah mengenal pasti tarik-ulur antara matlamat, seperti antara menamatkan kelaparan dan menggalakkan kelestarian alam sekitar. Kebimbangan lain termasuk terlalu banyak matlamat (mengakibatkan pengkompaunan tarik-ulur), penekanan lemah terhadap kemampanan alam sekitar dan kesukaran menjejaki petunjuk kualitatif.