Lingkungan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya

Lingkungan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya (kyūjitai: 大東亞共榮圈, shinjitai: 大東亜共栄圏, Dai-tō-a Kyōeiken) ialah konsep yang dicipta dan disebar luaskan oleh pemerintah dan tentera Empayar Jepun awal zaman Shōwa yang mewakili keinginan untuk mendirikan "blok negara-negara Asia di bawah pimpinan Jepun dan bebas daripada kuasa negara-negara Barat". Ia telah diumumkan dalam perutusan radio bertajuk "Keadaan Antarabangsa dan Kedudukan Jepun" oleh Menteri Luar Negeri, Hachirō Arita, pada 29 Jun 1940.

Percubaan Jepun dengan imperialisme kewangan disebut "diplomasi yen" atau "blok yen" yang ditujukan kepada negara-negara jajahan Jepun yang rasmi mahupun separa rasmi. Sepanjang tempoh yang bermula dengan penaklukan Jepun ke atas Taiwan pada tahun 1895 dan tahun 1937 yang ditandai dengan meletusnya Perang Sino-Jepun Kedua, pakar kewangan di Tokyo memimpin dan menyelaras program pembaharuan kewangan di Taiwan, Korea, Manchuria, dan pulau-pulau dalam penguasaan Jepun di Pasifik. Pembaharuan kewangan tersebut bertujuan untuk membina jaringan hubungan ekonomi dan politik. Usaha-usaha tersebut terhenti setelah konsep Lingkungan Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya gagal sepenuhnya.

Perdana Menteri Fumimaro Konoe mencanang konsep Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya dalam usaha mencipta kawasan Asia Timur Raya yang terdiri daripada Jepun, Manchuria, China, dan negara-negara di Asia Tenggara yang menurut Empayar Jepun merupakan aturan antarabangsa baru untuk mencipta "kesemakmuran bersama" bagi negara-negara Asia, dalam bentuk perdamaian dan kesejahteraan bersama yang bebas daripada penjajahan dan penguasaan Barat. Antara tujuan pelebaran ketenteraan Jepun termasuk memencilkan Australia dan gerakan-gerakan angkatan laut di Lautan Hindi.

Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya hanyalah salah satu konsep dan slogan yang diciptakan untuk membenarkan tindakan ganas Jepun di Asia Timur sejak tahun 1930-an hingga berakhirnya Perang Dunia II. Istilah Kesemakmuran Bersama Asia Timur Raya hingga kini diingati sebagai propaganda Empayar Jepun untuk menguasai negara-negara yang ditakluki ketika Perang Dunia Kedua.