Kucing Schrödinger

Kucing Schrödinger (Jawi: كوچيڠ شروديڠر) ialah suatu uji kaji pemikiran atau juga paradoks yang menggambarkan masalah interpretasi Copenhagen mekanik kuantum yang dipakai pada objek seharian.

Paradoks ini dicetuskan dalam suatu penulisan oleh seorang ahli fizik Austria bernama Erwin Schrödinger pada tahun 1935 yang mana beliau menyatakan secara ringkasnya:

...jika seekor kucing diletakkan dalam suatu tempat bersama suatu bahan yang membunuh kucing tersebut (atom radioaktif) dalam sebuah kotak lalu ditutup kotak tersebut, nasib kucing tersebut tidak diketahui sama ada ia "mati"—akibat asid hidrosianik yang dilepaskan daripada sebuah kelalang yang pecah dipukul—mahupun masih "hidup" sehingga kotak tersebut dibuka, maka kucing tersebut boleh dianggap berada dalam mana-mana nasib begini; begitulah yang diibaratkan mengenai fungsi teori saintifik yang mana teori boleh menjadi salah mahupun benar sehingga ia dapat diuji serta dibuktikan.