Kitab-kitab kenabian

Kitab-kitab kenabian ialah kelompok dalam Alkitab Kristian, yang terdiri dari 18 kitab dalam Perjanjian Lama. Apabila dipadankan dengan istilah dalam Tanakh, kumpulan tersebut termasuk dalam kumpulan nabi-nabi akhir di Nevi'im, dengan penambahan Kitab Ratapan (yang dalam Tanakh adalah salah satu dari Lima Gulungan) dan Kitab Daniel, yang mana keduanya termasuk dalam kumpulan Ketuvim di Alkitab Ibrani. Kitab Barukh juga merupakan sebahagian dari kitab kenabian, tetapi bukan sebahagian dari Alkitab Ibrani, dan dipandang oleh orang-orang Kristian sebagai kitab deuterokanonik yang ditiadakan dalam Alkitab Protestan.

Kumpulan ini dinamakan kitab-kitab kenabian kerana para nabi menurut tradisi dianggap sebagai penulis kitab masing-masing. Para penulis tersebut mulai berkarya antara tahun 750 SM dan 450 SM. Enam kitab pertama dikenal pasti termasuk dalam nabi-nabi besar, manakala 12 kitab selanjutnya termasuk dalam nabi-nabi kecil. Penamaan tersebut tidak menyiratkan bahawa kitab nabi-nabi besar lebih penting daripada kitab nabi-nabi kecil. Kitab nabi-nabi besar merujuk pada "kitab-kitab kenabian besar" memiliki isi yang jauh lebih "besar" (banyak/tebal) berbanding kitab nabi-nabi kecil yang merujuk pada "kitab-kitab kenabian kecil". Dalam ajaran Yahudi, kitab-kitab kenabian kecil digabung menjadi satu kitab.

Perlu diperhatikan bahawa kitab kenabian bukan semata-mata bermaksud kitab yang tercatat memiliki kemunculan (para) nabi di dalamnya. Contohnya, nabi Elia muncul di Kitab 1 dan 2 Raja-raja, tetapi kedua kitab tersebut tidak termasuk dalam kitab-kitab kenabian.