Jenayah perang Jepun
| Jenayah perang Jepun | |
|---|---|
| Sebahagian daripada penaklukan wilayah oleh Empayar Jepun | |
Mayat mangsa di tebing Sungai Qinhuai, di luar pintu barat Nanjing semasa Pembunuhan beramai-ramai di Nanking | |
| Lokasi | Dalam dan sekitar Asia Timur, Asia Tenggara, dan Pasifik |
| Tarikh | 1927–1945 |
Jenis serangan | jenayah perang, pembunuhan besar-besaran, pembersihan etnik dan jenayah terhadap kemanusiaan lain |
| Kematian | s. 30,000,000 |
| Pelaku | Empayar Jepun, Tentera Darat Empayar Jepun |
| Motif |
|
| Perbicaraan | Perbicaraan Tokyo, dan lain-lain |
| sunting · sunting di Wikidata | |
Empayar Jepun telah melakukan pelbagai jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di pelbagai negara Asia-Pasifik, terutamanya semasa Perang China-Jepun Kedua dan Perang Pasifik. Semua insiden ini pernah dirujuk dengan penuh kontroversi sebagai "Holokus Asia", dan "Holokus Jepun", dan juga sebagai "Penjarahan Asia" atau lebih keras lagi "Perogolan Asia". Jenayah berlaku semasa awal zaman Shōwa, di bawah pemerintahan Hirohito.
Tentera Darat Imperial Jepun (TDIJ) dan Tentera Laut Imperial Jepun (TLIJ) bertanggungjawab atas pelbagai jenayah perang yang menyebabkan berjuta-juta kematian. Jenayah perangnya merangkumi perhambaan seksual dan pembunuhan beramai-ramai kepada uji kaji manusia, kebuluran, dan buruh paksa, semuanya sama ada dilakukan secara langsung atau dibenarkan berlaku oleh tentera dan kerajaan Jepun. Bukti-bukti jenayah ini, antaranya keterangan lisan dan rekod bertulis seperti diari dan jurnal perang, telah diberikan oleh veteran-veteran Jepun.
Pemimpin-pemimpin politik dan tentera Jepun sedar akan jenayah tenteranya namun membiarkannya berterusan malah menyokongnya, dengan majoriti tentera Jepun ditugaskan di Asia mengambil bahagian dalamnya ataupun menyokong pembunuhan yang berlaku.
Angkatan Udara Tentera Darat Imperial Jepun terlibat dalam serangan kimia dan biologi ke atas orang awam semasa Perang China-Jepun Kedua dan Perang Dunia Kedua, melanggari perjanjian antarabangsa yang Jepun tandatangani sebelum ini, antaranya Konvensyen Hague yang mengharamkan penggunaan "racun atau senjata beracun" dalam peperangan.
Sejak 1950-an, banyak permohonan maaf atas jenayah perang telah dikeluarkan oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan Jepun; namun, permohonan maaf yang dikeluarkan telah dikritik bersifat tidak ikhlas. Kementerian Luar Negeri Jepun telah mengakui peranan negara Jepun yang telah mengakibatkan "kerosakan dan penderitaan yang dahsyat" sebelum dan semasa Perang Dunia Kedua, khususnya pembunuhan beramai-ramai di Nanjing oleh TDIJ. Walau bagaimanapun isu ini tetap dipenuhi kontroversi, dengan sesetengah anggota kerajaan Jepun, termasuk mantan-mantan perdana menteri Junichiro Koizumi dan Shinzō Abe menziarahi Kuil Yasukuni, tempat peringatan bagi semua orang Jepun yang mati dalam perang, termasuklah penjenayah-penjenayah perang Kelas A yang sudah disabitkan kesalahan. Tambahan pula, sesetengah buku teks sejarah Jepun hanya menyebut tentang jenayah perang sepintas lalu sahaja, dan beberapa anggota Parti Demokratik Liberal Jepun telah menafikan kezaliman yang telah berlaku, seperti penglibatan kerajaan dalam menculik wanita untuk dijadikan "wanita penghibur", iaitu kata halus untuk hamba seks.