Intoleransi laktosa

Intoleransi laktosa atau hipolaktasia merupakan ketidakupayaan mencerna laktosa iaitu sejenis gula yang terdapat dalam susu dan sesetengah hasil tenusu secara sempurna hingga mengalami kesan sampingan seperti gejala-gejala sakit perut, terhasilnya gas sehingga mengentut, cirit-birit, rasa loya, derum perut ataupun muntah tidak lama selepas pengambilan tenusu tersebut. Walau bagaimanapun, gejala-gejala ini tidak mendatangkan sebarang kerosakan kepada saluran usus perut manusia. Tahap intoleransi yang dialami bergantung kepada jumlah produk tenusu yang diambil individu.

Individu yang tidak toleran laktosa kekurangan enzim laktase yang memangkin tindak balas memecah laktosa menjadi glukosa dan galaktosa dalam sistem pencernaannya. Adalah biasa bagi penghidap keradangan usus mengalami gejala-gejala gastrousus setelah mengambil laktosa, namun sejauh mana terdapatnya kekurangan laktasa dalam golongan ini belum dikaji dengan menyeluruh.

Kebanyakan mamalia lazimnya berhenti menghasilkan laktase, dan oleh itu berhenti menerima laktosa, selepas bercerai susu, tetapi sesetengah populasi manusia telah mengembangkan keterusan laktase, iaitu pengeluaran laktase berlanjutan hingga usia dewasa. Kajian mendapati bahawa intoleransi laktosa lebih umum di dunia daripada keterusan laktase, malah variasi ini adalah genetik. Kajian terhadap 21 orang perempuan berketurunan Afrika-Amerika mendapati bahawa 75% daripada mereka mengalami penyusutan dalam aktiviti laktase sewaktu remaja. Kekerapan intoleransi laktosa adalah 5% di Eropah Utara ke 90% di sesetengah negara Afrika dan Asia. Taburan ini kini dipercayai berpunca daripada pemilihan semula jadi yang menyebelahi individu yang berketerusan laktase dalam budaya-budaya di mana terdapatnya hasil tenusu sebagai sumber makanan.