Final Fantasy XIII
| Final Fantasy XIII | |
|---|---|
Kulit hadapan versi Jepun. | |
| Pembangun | Square Enix |
| Penerbit | Square Enix |
| Pengarah | Motomu Toriyama |
| Pengeluar | Yoshinori Kitase |
| Artis | Tetsuya Nomura Isamu Kamikokuryou Toshitaka Matsuda |
| Penulis/pengarang | Motomu Toriyama Daisuke Watanabe Kazushige Nojima |
| Penggubah | Masashi Hamauzu |
| Siri | Final Fantasy Fabula Nova Crystallis |
| Enjin | Crystal Tools |
| Pelantar | PlayStation 3, Xbox 360 |
| Dilancarkan pada | |
| Genre | Permainan video berperanan (RPG) |
| Mod | Pemain tunggal |
| Anugerah | |
| – Japan Game Awards Annual Work Category Excellence Award (en) (2010) | |
| Pautan luar | |
| Tapak sesawang | finalfantasy13game.com |
| Pautan lain | |
| sunting · sunting di Wikidata | |
Final Fantasy XIII (ファイナルファンタジーXIII Fainaru Fantajī Sātīn) merupakan sebuah judul permainan video berperanan konsol ciptaan dan terbitan Square Enix untuk pelantar permainan video PlayStation 3 dan Xbox 360. Dikeluarkan pada tahun 2009 di Jepun dan seterusnya pada tahun 2010 di Amerika Utara dan kawasan PAL, judul ini merupakan yang ke-13 dalam siri Final Fantasy. Final Fantasy XIII memperkenal beberapa buah inovasi; sebuah mekanik kombat bersifat pantas, sebuah sistem baru yang menentukan kemahiran yang dibangunkan untuk setiap watak yang digelar Crystarium, beserta sebuah sistem Paradigm atau Paradigma untuk mengawal kemahiran-kemahiran yang boleh digunakan watak-wataknya. Final Fantasy XIII juga turut mempunyai elemen-elemen daripada judul-judul awal dalam sirinya, seperti makhluk seruan, chocobo, dan kapal udara atau airship.
Judulnya mengambil tempat di sebuah dunia cereka bergelar Cocoon, di mana kerajaannya, iaitu Sanctum, sedang mengarahkan pembuangan sebahagian daripada penduduknya yang kononnya telah bersentuhan dengan Pulse, iaitu sebuah dunia yang berada di bawah, digeruni ramai. Lightning, seorang bekas tentera, memulakan tentangannya terhadap kerajaan tersebut demi menyelamatkan adiknya yang telah dipilih menjadi l'Cie Pulse—hamba-hamba paksaan kepada makhluk berupa Tuhan yang dikenali sebagai fal'Cie, yang memastikan kesejahteraan di dunia Cocoon dan Pulse—justeru menjadi musuh kepada Cocoon. Lightning kemudiannya disertai oleh beberapa watak lain, dan mereka bersama-sama dipilih menjadi l'Cie setelah pertempuran mereka dengan Pulse fal'Cie. Mereka berganding bahu menentang Sanctum sambil mengenalpasti tugasan-tugasan mereka sebagai l'Cie, akhirnya mengelakkan takdir mereka berubah menjadi raksasa ataupun kristal pada penghujung misi mereka.
Pembangunannya bermula pada tahun 2005 dan pertama kali diumumkan di Electronic Entertainment Expo (E3) 2006, di mana Final Fantasy XIII merupakan judul utama kepada koleksi permainan video Final Fantasy di bawah kompilasi bergelar Fabula Nova Crystallis, turut merupakan judul pertama yang menggunakan enjin Square Enix iaitu Crystal Tools. Final Fantasy XIII telah menerima majoriti ulasan positif daripada industri permainan video, di mana grafik, persembahan, dan sistem pertarungannya dipuji. Ulasan-ulasan yang diterima mempunyai pandangan bercampur tentang keseluruhan penceritaan, plot dan kelinearan judulnya berbanding Final Fantasy utama yang lain. Dengan jumlah jualan sebanyak 1.7 juta di Jepun pada tahun 2009, Final Fantasy XIII merupakan judul yang paling pantas dijual dalam sejarah sirinya. Setakat Mei 2010, sejumlah 5.75 juta salinan dijual di seluruh dunia. Pada 18 Januari, 2011, Square Enix telah mengumumkan sebuah judul sambungan bergelar Final Fantasy XIII-2, dijadualkan untuk keluaran pada hujung tahun 2011.