Dondang sayang
| Nama asli | Dondang Sayang |
|---|---|
| Asal usul | Melaka , Malaysia |
| Dondang Sayang | |
|---|---|
| Negara | Malaysia |
| Rujukan | 1410 |
| Kawasan | Asia Pasifik |
| Sejarah inskripsi | |
| Inskripsi | 2018 (sesi 13) |
Dondang Sayang ialah sebuah nyanyian mengulit kasih dan sebuah seni tradisional Melayu yang popular dimainkan di Melaka oleh masyarakat Melayu dan Peranakan seperti Baba Nyonya, Cheti dan Portugis. Ia dikenali juga dengan sebuah balada cinta, yang mana lagu-lagu yang digunakan adalah untuk membangkitkan perasaan cinta dan nasihat mengenai topik tertentu seperti cinta dan kebaikan.
Dalam lagu dondang sayang, penyanyi-penyanyi saling bertukar pantun tanpa persediaan dalam gaya yang riang dan kadang-kadang lucu. Nyanyian-nyanyian biasanya diiringi empat orang ahli muzik yang terdiri daripada seorang pemain biola; dua orang pemain rebana (gendang yang di sebelah sahaja dipasang kulit) Melayu; dan seorang pemain tawak (gong kecil).
Pemain biola biasa merupakan ketua kumpulan ahli muzik. Beliau memainkan peranan utama dalam dondang sayang, dan membekalkan melodi kaunter kepada melodi vokal atau suara. Pemain-pemain muzik boleh saling bertukar alat-alat muzik mereka antara persembahan, tetapi pemain biola jarang berbuat demikian, walaupun dibenarkan. Sehingga lima buah reban boleh digunakan, jika terdapat pemain muzik yang berlebihan. Kadang-kadang, rebana boleh digantikan dengan gendang ataupun kompang. Barisan alat muzik boleh juga ditambahkan dengan akordion.
Muzik dondang sayang adalah perlahan, dan sebuah lagu biasanya terdiri daripada 32 bar, bermula dengan pengenalan biola, diikuti rebana dan kemudiannya gong, dan akhirnya oleh nyanyian pada bar kelima. Gayanya tidak formal dan liriknya biasa terdiri daripada puisi cinta.