Buruj

Dalam astronomi moden, suatu buruj, konstelasi atau gugusan ialah kawasan terletaknya corak yang terbentuk oleh bintang-bintang ulung dengan kedekatan nyata ke satu sama lain pada seluruh pemandangan langit di atas Bumi pada waktu malam.

Terdapat 88 buruj piawai diakui oleh Kesatuan Astronomi Antarabangsa sejak 1922; kebanyakan buruj-buruj ini dirujuk kepada 48 buruj yang disenaraikan Klaudios Ptolemaios dalam buku Mathematike Syntaxis bertarikh abad ke-2 manakala buruj-buruj selebihnya dinyatakan pada abad ke-17 dan ke-18; buruj-buruj yang paling lewat ditemui di langit selatan dinyatakan dalam Coelum australe stelliferum oleh Nicolas Louis de Lacaille pada 1763. Ada juga sebilangan buruj terdahulu yang tidak diakui oleh kesatuan tersebut, atau buruj yang diakui dalam tradisi rantauan astronomi atau astrologi, seperti buruj-buruj Cina, atau orang-orang asli Australia dan sebagainya. Lain bangsa, lainlah persepsi mereka terhadap corak buruj itu. Justeru, nama buruj juga berbeza. Dalam rajah contoh di sebelah, orang Melayu di Nusantara melihat corak empat biji bintang berbentuk segi empat dengan tiga biji bintang lagi sederet di dalamnya sebagai sebuah belantik manakala orang Yunani dan Rom Purba melihatnya sebagai susuk tubuh manusia iaitu pemburu bernama Orion.