Buli
Pembulian atau perundungan bermaksud perbuatan yang berniat menunjukkan kekuatan, menggertak atau mencederakan orang tertentu yang dilihat berkeadaan lemah berbanding si pelaku dengan mengasari atau mendera mangsanya. Buli ialah subkategori tingkah laku agresif yang dicirikan oleh tiga kriteria berikut: (1) niat bermusuhan, (2) ketidakseimbangan kekuatan, dan (3) pengulangan dalam jangka waktu tertentu. Buli merupakan aktiviti tingkah laku berulang yang agresif yang bertujuan untuk menyakiti individu lain, secara fizikal, mental, mahupun emosi.
Budaya membuli dapat berkembang dalam konteks dimanapun manusia saling berinteraksi. Ini mungkin merangkumi sekolah, keluarga, tempat kerja, rumah, dan kawasan kejiranan. Platform utama pembuli dalam budaya kontemporari adalah di laman sesawang media sosial. Satu kajian oleh The Lancet Child & Adolescent Health pada tahun 2019 menunjukkan hubungan antara penggunaan media sosial dengan kanak-kanak perempuan dan peningkatan pendedahan mereka terhadap pembulian. Buli boleh didefinisikan dengan pelbagai cara. Di United Kingdom, tiada definisi undang-undang mengenai buli, sementara beberapa negeri di Amerika Syarikat mempunyai undang-undang yang menentangnya. Buli dibahagikan kepada empat jenis penyalahgunaan asas iaitu psikologi (kadang-kadang disebut emosi atau perhubungan), verbal (percakapan), fizikal, dan siber.