Bukit Lagi
Bukit Lagi merupakan lambang atau identiti bagi bandar kecil Kangar. Bukit ini adalah salah satu bukit batu kapur yang terhasil dengan formasi batuan batu kapur Chuping. Ia berasal daripada hamparan batu kapur yang besar, bermula daripada Bukit Air, Padang Besar sehingga ke Gunung Keriang, Alor Setar. Hamparan Batu Kapur ini telah dienapkan di kawasan zon pasang surut sehingga ke pelantar lautan pada 260-280 juta tahun dulu. Formasi ini terdiri daripada batu kapur yang berlapis tebal dan berwarna cerah.
Bukit ini mempunyai ketinggian antara 300-500 kaki dan panjangnya adalah 3 km bermula daripada bandar Kangar hingga ke sebelah selatannya yang dikenali sebagai Gua Cenderawasih atau Gua Sami. Ia dikenali sebagai Gua Cenderawasih kerana dahulunya bukit ini merupakan habitat bagi burung cenderawasih dan dikenali sebagai Gua Sami kerana dahulunya gua-gua di sekitar bukit ini menjadi tempat tinggal golongan sami Buddha untuk mereka beribadat dan mengubati pesakit sebelum mereka bersetuju untuk tinggalkan tempat ini ketika kawasan ini dibangunkan menjadi tempat rekreasi dan namanya terus ditukar kepada Gua Cenderawasih; 'sisa-sisa' yang ditinggalkan oleh sami buddha di sekitar gua-gua di bukit ini masih boleh dilihat sekiranya anda berkunjung ke tempat ini.
Bukit Lagi terletak di tengah-tengah kawasan bendang. Bukit ini merupakan sebuah anak bukit yang berbatu granit. Ia direntasi oleh Jalan Lintasan Kangar yang menghubungkan Jalan Guar Syed Alwi dengan Jalan Kangar-Alor Setar. Bukit ini merupakan sebuah proses lipatan kerak bumi yang membentuk jalur tanah tinggi atau dikenali sebagai kawasan bukit. Bukit ini dikelilingi oleh beberapa buah kampung iaitu Kampung Batu Hampar, Kampung Utan Aji, Kampung Padang Jawa, Kampung Telaga Nyior Manis dan Kampung Behor Gandin.
Bukit ini juga adalah habitat bagi lang kangkuk, sejenis burung pembangkai. Burung ini telah pupus disebabkan oleh keracunan. Telur burung ini menjadi sumber makanan kera dan lotong yang tinggal di bukit. Bukit ini juga merupakan habitat bagi cenderawasih, ular sawa bersaiz besar, ular kapak, ular tedung selar, ikan laga kampung, toman, kera, lutung dan pelbagai lagi jenis hidupan.