Ayman al-Zawahiri
Ayman al-Zawahiri | |
|---|---|
| Kelahiran | 19 Jun 1951 Maadi, Kaherah, Mesir |
| Meninggal dunia | 31 Julai 2022 (umur 71) |
| Pekerjaan | Ulama, ketua al-Qaeda |
| Pendahulu | Osama bin Laden |
| Pasangan | Azza Ahmed (k. 1978–2001, kematiannya) |
| Anak-anak | 6 (3 hidup) |
| Ibu bapa | Mohammed Rabie al-Zawahiri (bapa) Umayma Azzam (ibu) |
Ayman Mohammed Rabie al-Zawahiri (Arab: أيمن محمد ربيع الظواهري ʾAyman Muḥammad Rabīʿ aẓ-Ẓawāhirī ; lahir 19 Jun 1951 — 31 Julai 2022) ialah seorang ulama Mesir dan pemimpin al-Qaeda sekarang. Sebelum ini, beliau merupakan "amir" kedua dan terakhir Jihad Islam Mesir, setelah mengambil tempat Abbud al-Zumar sebagai amir ketika kerajaan Mesir menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas al-Zumar. Isteri dan tiga orang anaknya terbunuh dalam bedilan Amerika Syarikat di Afghanistan pada tahun 2001, ekoran serangan 11 September di Amerika Syarikat. Pada 2 Mei 2011, beliau dianggap sebagai pemangku ketua al-Qaeda ekoran kematian Osama bin Laden. Hal ini disahkan oleh kenyataan akhbar daripada al-Qaeda pada 16 Jun. Selepas kejadian 9/11, Jabatan Negara AS menawarkan ganjaran $25 juta untuk sesiapa yang memberikan maklumat yang membawa kepada penangkapan al-Zawahiri.
al-Zawahiri dilaporkan mempunyai kelayakan doktor bedah; sewaktu pertubuhannya bergabung dengan al-Qaeda pimpinan bin Laden, beliau menjadi penasihat dan tabib peribadi bin Laden. Beliau mula-mula berjumpa dengan bin Laden di Jeddah pada tahun 1986. Kefahaman aqidah dan sejarah Islam oleh al-Zawahiri tampak radikal sekali. Beliau fasih berbahasa Arab, Inggeris dan Perancis. Sebagai ahli atau sekutu al-Qaeda, beliau dikenakan sekatan seluruh dunia oleh Jawatankuasa 1267 Majlis Keselamatan PBB.
Pada tahun 1998, al-Zawahiri secara rasminya menggabungkan Jihad Islam Mesir ke dalam al-Qaeda. Menurut laporan oleh seorang bekas ahli al-Qaeda, beliau pernah bekerja dalam pertubuhan al-Qaeda semenjak penubuhannya lagi dan merupakan salah seorang ahli majlis syura al-Qaeda. Beliau sering disifatkan sebagai "leftenan" Osama bin Laden, walaupun periwayat lantikan bin Laden menggelar al-Zawahiri sebagai "dalang sebenar" al-Qaeda.