Asura

Asura (Bahasa Sanskrit:असुर) ialah kelas makhluk dalam agama Dharma. Mereka digambarkan sebagai puak pencari kuasa yang mempunyai hubung kait dengan Deva yang lebih baik (juga dikenali sebagai Sura) dalam agama Hindu. Dalam konteks agama Buddha, perkataan itu kadang-kadang diterjemahkan sebagai "titan", "separa dewa", atau "antituhan".

Menurut kitab suci Hindu, para asura sentiasa berperang dengan para Deva.:2–6  Asura digambarkan dalam teks India sebagai golongan separa dewa sangat berkuasa yang mempunyai kualiti baik atau buruk. Dalam kesusasteraan Veda awal, Asura yang baik dipanggil Aditya dan dipimpin oleh Varuna, manakala yang jahat dipanggil Danava dan dipimpin oleh Vritra.:4  Dalam lapisan terawal teks Veda, Agni, Indra dan dewa-dewa lain juga dipanggil Asura. Hal ini adalah demikian untuk menunjukkan fungsi mereka sebagai "tuan" yang menguasai kawasan, kepakaran dan kebolehan masing-masing. Dalam teks Veda dan pasca Veda kemudiannya, dewa-dewa yang baik hati dipanggil Deva, manakala Asura jahat lbersaing dengan para Deva ini dan dianggap sebagai "musuh para dewa".:5–11, 22, 99–102

Asura ialah sebahagian daripada mitologi India bersama-sama dengan Deva, Yaksha (semangat alam), Rakshasa (makhluk pemakan manusia yang ganas atau syaitan), Bhuta (hantu) dan banyak lagi. Asura telah dimasukkan ke dalam banyak teori kosmologi dan legenda dalam agama Buddha dan Hindu.