Yaksa

Yaksa (Sanskrit: यक्ष yakṣa) adalah gelaran bagi sebuah golongan besar semangat alam yang lazimnya bersifat baik dan merupakan penjaga khazanah alam yang tersembunyi di dalam tanah dan akar-akar pokok. Yaksa terdapat dalam kesusasteraan Hindu, Jain dan Buddha. Istilah tersebut juga terdapat dalam bentuk betina iaitu yaksi (यक्षी yakṣī) atau yaksini (yakṣiṇī, यक्षिणी).

Menurut sastera Hindu, Jain, dan Buddha, yaksa terdiri daripada yang baik dan yang jahat. Yaksa yang baik merupakan semangat alam yang tidak mengganggu, dikaitkan dengan hutan dan gunung, sementara yaksa jahat adalah umpama hantu yang menangkap dan memakan kelana di tengah hutan, seperti mana raksasa.

Contohnya, dalam sajak Meghaduta oleh Kālidāsa, si yaksa tukang cerita adalah watak romantis yang rindu akan kekasihnya yang menghilang. Sebagai perbandingan, dalam dialog didaktik Hindu yang berjudul Yakṣapraśnāḥ atau "Persoalan Yaksa", si yaksa merupakan dewa pengasuh tasik yang mencabar Yudhisthira. Barangkalinya yaksa pada mulanya adalah dewa-dewi pengasuh hutan dan kampung yang kemudian dianggap sebagai dewa-dewi pengawas tanah dan segala khazanah di bawahnya.

Dalam kesenian India, yaksa jantan digambarkan sebagai pahlawan yang garang atau orang kerdil berbadan bulat dan gempal. Yaksa betina atau yaksini pula dilukiskan sebagai gadis-gadis jelita yang berwajah bulat serba ceria dengan payudara dan pinggul yang berisi.