Pembunuhan John F. Kennedy

Pembunuhan John F. Kennedy
Presiden Kennedy bersama isterinya, Jacqueline, dan Gabenor Texas John Connally bersama isterinya, Nellie dalam limousin presiden beberapa minit sebelum pembunuhan
LokasiDealey Plaza, Dallas, Texas, A.S.
Koordinat32°46′45″N 96°48′31″W / 32.77903°N 96.80867°W / 32.77903; -96.80867
Tarikh22 November 1963 (1963-11-22)
12:30 p.m.
SasaranJohn F. Kennedy
Jenis serangan
Sniper gaya pembunuhan
Senjata6.5×52mm Carcano M91/38 bolt-action Itali
Kematian2 (Presiden Kennedy, J. D. Tippit)
Tercedera2 (Gabenor Connally, James Tague)
PelakuLee Harvey Oswald
sunting · sunting di Wikidata

Pada 22 November 1963, Presiden Amerika Syarikat yang ke-35, John F. Kennedy, telah ditembak mati ketika sedang berada dalam konvoi rasmi di Dataran Dealey, Dallas, Texas. Ketika itu, Kennedy berada dalam sebuah kereta bersama isteri beliau, Jacqueline, Gabenor Texas, John Connally dan isteri Connally, Nellie. Tembakan tersebut dilepaskan dari bangunan Gudang Buku Sekolah Texas oleh Lee Harvey Oswald, seorang bekas anggota Marin Amerika Syarikat. Kereta konvoi tersebut segera menuju ke Hospital Memorial Parkland di mana Kennedy telah disahkan meninggal dunia kira-kira 30 minit selepas ditembak. Connally pula telah cedera, namun berjaya pulih. Selepas kejadian itu, Naib Presiden Lyndon B. Johnson telah mengangkat sumpah sebagai presiden dalam tempoh lebih dua jam melalui penerbangan Air Force One di Lapangan Terbang Dallas Love Field.

Setelah kejadian tersebut, Oswald telah pulang ke rumah untuk mengambil pistol dan kemudian telah menembak dan membunuh seorang anggota polis Dallas, J.D. Tippit. Kira-kira 70 minit selepas Kennedy dan Connally ditembak, Oswald akhirnya telah ditangkap oleh Polis Dallas dan didakwa atas pembunuhan Kennedy dan Tippit. Dua hari kemudian, pada 24 November 1963, semasa Oswald dipindahkan dari balai polis Dallas, beliau telah ditembak mati oleh Jack Ruby, seorang pemilik kelab malam di Dallas. Seperti Kennedy, Oswald telah dibawa ke Hospital Memorial Parkland, tetapi telah disahkan meninggal dunia tidak lama selepas itu. Ruby telah dihukum kerana membunuh Oswald, namun keputusan tersebut telah dibatalkan selepas rayuan. Ruby meninggal dunia dalam penjara pada tahun 1967 ketika menunggu perbicaraan semula.

Selepas sepuluh bulan menjalankan siasatan, Suruhanjaya Warren telah membuat kesimpulan bahawa Oswald merupakan individu yang telah membunuh Kennedy dan tiada bukti yang menunjukkan bahawa Oswald atau Ruby terlibat dalam sebarang konspirasi. Walau bagaimanapun, pada tahun 1967, Jim Garrison, Peguam Daerah New Orleans, telah membawa kes perbicaraan mengenai pembunuhan Kennedy. Seorang ahli perniagaan, Clay Shaw, dijadikan tertuduh. Shaw akhirnya telah dibebaskan. Siasatan persekutuan lain seperti dan Jawatankuasa Church juga telah bersetuju dengan kesimpulan Suruhanjaya Warren. Walau bagaimanapun, dalam laporan pada tahun 1979, Jawatankuasa Pilihan Dewan Perwakilan AS tentang Pembunuhan (HSCA) telah menyatakan bahawa pembunuhan Kennedy mungkin merupakan hasil daripada konspirasi. Walaupun tidak dapat dipastikan siapa yang terlibat dalam konspirasi tersebut, mereka telah membuat kesimpulan bahawa terdapat "kemungkinan besar dua orang penembak" yang telah menembak Presiden. Kesimpulan HSCA ini banyak bergantung kepada rakaman Dictabelt polis yang kemudiannya telah dibuktikan salah oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat.

Pembunuhan Kennedy masih merupakan topik perdebatan yang luas dan telah melahirkan pelbagai teori konspirasi serta senario alternatif. Kajian mendapati bahawa majoriti besar rakyat Amerika percaya bahawa terdapatnya konspirasi. Pembunuhan Kennedy telah meninggalkan impak yang mendalam dan peristiwa ini menjadi yang pertama daripada empat pembunuhan besar pada tahun 1960-an di Amerika Syarikat, dua tahun sebelum pembunuhan Malcolm X pada tahun 1965 dan lima tahun sebelum pembunuhan Martin Luther King Jr. serta adik Kennedy, Robert F. Kennedy, pada tahun 1968. Kennedy menjadi presiden Amerika Syarikat keempat yang dibunuh dan merupakan yang paling terkini meninggal dunia semasa memegang jawatan.