Anoreksia nervosa
| Anoreksia nervosa | |
|---|---|
Nama lain | anoreksia |
| "Cik A—" seperti gambar pada tahun 1866 serta gambar pada tahun 1870 selepas rawatan. Keadaannya merupakan salah satu daripada kes kajian terawal anoreksia, yang diterbit pada himpunan rencana perubatan William Gull. | |
| Pengkhususan | Psikiatri, Psikologi klinikal |
| Gejala | Kekurangan berat badan, ketakutan peningkatan berat badan, keinginan kuat untuk kekal kurus, penyekatan pemakanan, gangguan imej tubuh badan |
| Kerumitan | Osteoporosis, kemandulan, kerosakan jantung, bunuh diri, pembengkakan seluruh tubuh badan (edema), kegagalan jantung dan/atau kegagalan peparu, masalah berkaitan gastrousus, kelemahan otot ekstensif, rancauan, kematian. |
Permulaan biasa | Usia remaja sehingga usia dewasa muda |
| Punca | Tidak dikenal pasti |
| Sejarah keluarga, tahap kecergasan yang tinggi, kerjaya peragaan dan penarian, gangguan penggunaan bahan | |
| Gangguan dismorfik badan, bulimia nervosa, hipertiroidisme, penyakit radang usus, disfagia, kanser | |
| Rawatan | Terapi tingkah laku kognitif, kemasukan ke wad hospital untuk memulih berat badan |
| Prognosis | 5% risiko kematian jika melebihi 10 tahun keadaan tersebut |
| Kekerapan | 2.9 juta (2015) |
| Kematian | 600 (2015) |
| sunting | |
Anoreksia nervosa (AN), sering dirujuk sebagai anoreksia sahaja, merupakan sejenis gangguan pemakanan yang bercirikan kekurangan berat badan, sekatan pemakanan, gangguan imej badan, ketakutan untuk menambah berat badan, dan keinginan yang kuat untuk menjadi kurus.
Individu yang mempunyai anoreksia nervosa mempunyai ketakutan untuk mengalami berat badan berlebihan atau dilihat sedemikian, walaupun mereka sebenarnya kurang berat badan. DSM-5 menerangkan gejala persepsi ini sebagai "gangguan terhadap berat atau bentuk badan yang dialami oleh seseorang". Berdasarkan latar belakang penyelidikan dan klinikal, gejala ini dipanggil "gangguan imej tubuh badan". Individu yang mengalami anoreksia nervosa juga sering menafikan bahawa mereka mempunyai masalah berat badan yang rendah. Mereka mungkin kerap menimbang berat badan, makan dalam kuantiti yang sedikit, dan hanya mengambil makanan tertentu. Sesetengah daripada individu tersebut sering bersenam secara berlebihan, memaksa diri untuk muntah (subjenis "anoreksia telan-buang"), atau menggunakan laksatif untuk menurunkan berat badan dan mengawal bentuk badan, dan/atau makan berlebihan. Komplikasi perubatan mungkin termasuk osteoporosis, ketidaksuburan dan kerosakan jantung, berserta penghentian kitaran haid yang tidak normal. Dalam kes yang teruk, pesakit dengan anoreksia nervosa yang terus-menerus menolak pengambilan diet dan campur tangan pemulihan berat badan, serta diisytiharkan tidak cekap untuk membuat keputusan diri oleh pakar psikiatri, boleh diberi makan melalui tiub nasogastrik secara paksa apabila tubuh badannya diikat selepas mendapat kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga mereka yang membantu pesakit tersebut membuat keputusan.
Punca anoreksia pada masa ini tidak diketahui. Terdapat beberapa komponen genetik yang berkait rapat, serta kembar seiras lebih kerap terjejas berbanding kembar tidak seiras. Faktor budaya juga kelihatan memainkan peranan, apabila masyarakat yang menghargai kekurusan tubuh badan mempunyai kadar penyakit ini yang lebih tinggi. Selain itu, ia lebih kerap berlaku di kalangan mereka yang terlibat dalam aktiviti yang mementingkan kekurusan tubuh badan seperti olahraga, peragaan dan penarian. Anoreksia selalunya bermula selepas peristiwa yang mendatangkan perubahan hidup yang besar atau yang membawa tekanan besar.
Rawatan anoreksia melibatkan pemulihan pesakit ke aras berat badan yang sihat, perawatan masalah psikologi di sebalik penyakit ini, dan penghentian terhadap tingkah laku yang menggalakkan masalah tersebut. Walaupun ubat-ubatan tidak membantu dari segi penambahan berat badan, ia boleh digunakan untuk membantu merawat kebimbangan atau kemurungan yang berkaitan. Kaedah terapi yang berbeza mungkin berguna, seperti terapi tingkah laku kognitif atau pendekatan ibu bapa memikul tanggungjawab untuk memberi makan kepada anak mereka, yang dikenali sebagai terapi keluarga Maudsley. Kadang-kadang pesakit tersebut memerlukan kemasukan ke hospital untuk memulihkan berat badan. Bukti manfaat pemberian makanan melalui tiub nasogastrik tidak jelas; campur tangan sedemikian mungkin sangat menyusahkan kedua-dua pihak pesakit anoreksia dan kakitangan penjagaan kesihatan apabila pemberian makanan secara paksaan melawan kehendak pesakit yang terpaksa dikurung. Sesetengah individu yang mengalami anoreksia akan mengalami satu episod sahaja kemudiannya pulih, manakala terdapat individu lain mungkin mengalami episod berulang selama bertahun-tahun. Banyak komplikasi berkaitan bertambah baik selepas penambahan berat badan.
Di peringkat global, anoreksia dianggarkan menjejas 2.9 juta orang pada tahun 2015. Seramai 0.3% hingga 4.3% dari kalangan wanita dan 0.2% hingga 1% dari kalangan lelaki di negara Barat pernah menghidapi anoreksia pada satu ketika dalam hidup mereka. Kira-kira 0.4% wanita muda terjejas pada tahun tersebut dan dianggarkan berlaku sepuluh kali lebih kerap di kalangan wanita berbanding lelaki. Gangguan ini selalu bermula semasa usia remaja atau dewasa muda. Walaupun anoreksia menjadi lebih kerap didiagnosis pada abad ke-20, tidak jelas sama ada ini disebabkan oleh peningkatan kekerapannya atau diagnosis yang lebih baik. Pada tahun 2013, gangguan ini secara langsung mengakibatkan kira-kira 600 kematian di seluruh dunia, meningkat daripada 400 kematian pada tahun 1990. Gangguan makan juga meningkatkan risiko kematian seseorang atas pelbagai sebab lain, termasuk bunuh diri. Kira-kira 5% orang yang mengalami anoreksia mati akibat komplikasi dalam tempoh sepuluh tahun.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, psikiatri evolusi yakni disiplin saintifik yang giat berkembang sedang mengkaji gangguan mental dari perspektif evolusi. Banyak perkara masih diperdebatkan sama ada gangguan makan seperti anoreksia mempunyai fungsi evolusi atau jika ia merupakan masalah akibat gaya hidup moden.