Hampagas
Hampagas (Jawi: همڤاڬس) atau vakum (Jawi: ۏاکوم) merujuk kepada isipadu ruang yang pada asasnya kosong daripada jirim, sehinggakan tekanan gasnya lebih rendah berbanding tekanan atmosfera.
Konsep ini telah banyak dihujahkan secara berfalsafahnya sejak zaman Yunani Purba lagi, namun ia tidaklah dikaji secara empirikal sehingga abad ke-17, apabila seorang ahli fizik Itali bernama Evangelista Torricelli menghasilkan vakum pertama buatan makmal pada tahun 1643 berdasarkan teori-teorinya mengenai tekanan atmosfera. Vakum buatan pertama ini — secara terperincinya dikenali sebagai vakum (atau hampagas) torricelli, torricellian vacuum — dihasilkan dengan mengisi sebuah bekas kaca tinggi yang tertutup pada satu hujungnya dengan raksa, lalu bekas ini diterbalikkan untuk menangkap isi raksa tersebut.