Sultan Mahmud Shah II dari Johor

Sultan Mahmud Shah II
Sultan Johor-Pahang
Pemerintahan16 Februari 1685 – 3 September 1699
Didahului olehSultan Ibrahim Shah
Diikuti olehSultan Abdul Jalil Riayat Shah IV
KeputeraanRaja Mahmud ibni Sultan Ibrahim Shah
1675
Kemangkatan3 September 1699
Kota Tinggi, Johor
Pemakaman3 September 1699
Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Kampung Makam, Kota Tinggi, Johor
Pasangan1. Tun Engku Inche Ayu binti Bendahara Tun Abdul Jamal
2. Inche Apung
AnakandaDipercayai Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (Raja Kechil)
WangsaWangsa Melaka-Johor
AyahandaSultan Ibrahim Shah
BondaMarhum Bakal binti Tun Muhammad Ali
AgamaSunni Islam

Sultan Mahmud Shah II ibni Sultan Ibrahim Shah (1675 – 3 September 1699) ialah Sultan Johor ke-9 dan Sultan Pahang ke-16 dari tahun 1685 hingga tahun 1699.

Baginda merupakan Sultan Johor terakhir daripada Wangsa Melaka-Johor. Namun, sekiranya dakwaan Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah, atau lebih dikenali sebagai Raja Kechil, bahawa baginda merupakan waris Sultan Mahmud Shah II adalah benar, maka Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah merupakan Sultan Johor terakhir daripada Wangsa Melaka-Johor.

Baginda juga terkenal dengan gelaran "Sultan Mahmud Mangkat Dijulang" kerana baginda dibunuh oleh Megat Seri Rama dalam keadaan baginda sedang diusung di atas tandu semasa baginda dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan Solat Jumaat.