Adolf Hitler

Adolf Hitler
Potret rasmi, 1938
Führer Jerman
Dalam jawatan
2 Ogos 1934 – 30 April 1945
Didahului olehPaul von Hindenburg (Presiden)
Digantikan olehKarl Dönitz (Presiden)
Canselor Jerman
Dalam jawatan
30 Januari 1933 – 30 April 1945
PresidenPaul von Hindenburg
(1933–1934)
Naib CanselorFranz von Papen (1933–1934)
Didahului olehKurt von Schleicher
Digantikan olehJoseph Goebbels
Führer Parti Nazi
Dalam jawatan
29 Julai 1921 – 30 April 1945
TimbalanRudolf Hess (1933–1941)
Didahului olehAnton Drexler (Pengerusi)
Digantikan olehMartin Bormann (Menteri Parti)
Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Jerman
Dalam jawatan
2 Ogos 1934 – 30 April 1945
Didahului olehPaul von Hindenburg
Digantikan olehKarl Dönitz
Panglima Besar Tentera Darat Jerman
Dalam jawatan
19 Disember 1941 – 30 April 1945
Didahului olehWalther von Brauchitsch
Digantikan olehFerdinand Schörner
Maklumat peribadi
Lahir(1889-04-20)20 April 1889
Braunau am Inn, Austria-Hungary (sekarang Austria)
Meninggal dunia30 April 1945(1945-04-30) (umur 56)
Berlin, Jerman Nazi
Cause of deathBunuh diri menggunakan pistol
Kerakyatan
  • Austria (1889–1925)
  • Tanpa kewarganegaraan (1925–1932)
  • Jerman (1932–1945)
Parti politikParti Nazi (1921–1945)
Gabungan politik
lain
Parti Pekerja Jerman (1919–1920)
PasanganEva Braun (k. 1945)
Ibu bapaAlois Hitler
Klara Pölzl
SaudaraKeluarga Hitler
KabinetKabinet Hitler
Tandatangan
Perkhidmatan tentera
KesetiaanEmpayar Jerman
Republik Weimar
Cabang/khidmat
Tahun khidmat1914–1920
PangkatGefreiter
UnitRejimen Ke-16 Simpanan Bavaria
Perang/Pertempuran

Perang Dunia I

Anugerah tentera

Adolf Hitler (20 April 1889 – 30 April 1945) ialah seorang ahli politik Jerman kelahiran Austria yang merupakan diktator Jerman Nazi dari tahun 1933 hingga kematiannya pada tahun 1945. Beliau naik ke tampuk kuasa sebagai pemimpin Parti Nazi, menjadi Canselor pada tahun 1933 dan kemudiannya mengambil gelaran Führer und Reichskanzler pada tahun 1934. Pencerobohan Poland oleh Hitler pada 1 September 1939 menandakan bermulanya Perang Dunia Kedua. Sepanjang perang, beliau terlibat secara langsung dalam operasi ketenteraan dan menjadi tokoh utama dalam peristiwa Holokus: iaitu pembunuhan beramai-ramai terhadap kira-kira enam juta orang Yahudi dan berjuta-juta mangsa yang lain.

Hitler dilahirkan di Braunau am Inn, dalam Austria-Hungary dan berpindah ke Jerman pada tahun 1913. Semasa Perang Dunia Pertama, beliau berkhidmat dalam Tentera Darat Jerman dan menerima pingat Iron Cross sebagai penghargaan. Pada tahun 1919 beliau menyertai Parti Pekerja Jerman (Deutsche Arbeiterpartei atau singkatan DAP), yang kemudiannya menjadi Parti Nazi, dan pada tahun 1921 dilantik sebagai ketuanya. Pada tahun 1923 beliau cuba menggulingkan kerajaan dalam satu rampasan kuasa yang gagal di Munich dan telah dihukum penjara selama lima tahun tetapi hanya menjalani hukuman lebih setahun. Di dalam penjara, beliau merencanakan jilid pertama autobiografi dan manifesto politiknya, Mein Kampf (Perjuanganku). Selepas dibebaskan pada tahun 1924, beliau mendapat sokongan ramai dengan menyerang Persetiaan Versailles dan menggalakkan pan-Jermanisme, antisemitisme, dan antikomunisme, dengan pidato yang karismatik dan propaganda Nazi. Beliau sering menyamakan komunisme dengan konspirasi Yahudi antarabangsa. Menjelang November 1932 Parti Nazi menjadi parti terbesar dalam Reichstag, tetapi tidak memperoleh majoriti. Bekas canselor Franz von Papen dan pemimpin konservatif lain berjaya menyakinkan Presiden Paul von Hindenburg untuk melantik Hitler sebagai canselor pada 30 Januari 1933. Tidak lama selepas itu, Reichstag meluluskan Akta Pemerkasaan 1933, yang memulakan proses transformasi Republik Weimar kepada Jerman Nazi, menjadi diktator parti tunggal berasaskan ideologi Nazisme yang totalitarian, autokratik, dan fasistik.

Selepas kematian Hindenburg pada 2 Ogos 1934, Hitler menjadi ketua negara dan kerajaan secara serentak dengan kuasa mutlak. Di dalam negara, Hitler melaksanakan pelbagai dasar perkauman termasuk pengusiran dan pembunuhan orang Yahudi Jerman. Enam tahun pertama pemerintahannya menyaksikan pemulihan ekonomi yang pesat selepas Kemelesetan Besar, penghapusan sekatan terhadap Jerman selepas Perang Dunia I, dan pengilhakan wilayah yang didiami berjuta-juta etnik Jerman, semuanya menyumbang kepada sokongan rakyat yang meluas. Salah satu matlamat utama Hitler ialah mendapatkan Lebensraum (har. ruang kehidupan) untuk bangsa Jerman di Eropah Timur, dan dasar luar negerinya yang agresif dan perluasan wilayah dianggap punca utama Perang Dunia II di Eropah. Beliau mengarah persenjataan semula yang berskala besar dan, pada 1 September 1939, menyerang Poland, menyebabkan Britain dan Perancis mengisytiharkan perang ke atas Jerman. Pada Jun 1941 Hitler membuat serangan ke atas Kesatuan Soviet. Pada Disember 1941 beliau mengisytiharkan perang ke atas Amerika Syarikat. Menjelang akhir tahun 1941 tentera Jerman dan Kuasa Paksi Eropah telah menguasai sebahagian besar Eropah dan Afrika Utara. Namun, mulai tahun 1943, kejayaan tentera Jerman mula beransur-ansur punah, dan pada tahun 1945, tentera Bersekutu menewaskan tentera Jerman. Pada 29 April 1945 beliau mengahwini kekasih lamanya, Eva Braun, di dalam Führerbunker di Berlin. Keesokan harinya, mereka berdua membunuh diri bagi mengelak ditangkap oleh Tentera Merah Soviet.

Ahli sejarah dan biografi Ian Kershaw menyifatkan Hitler sebagai "satu jelmaan syaitan politik moden". Di bawah kepimpinan dan ideologi perkauman Hitler, rejim Nazi bertanggungjawab terhadap penghapusan bangsa kira-kira enam juta orang Yahudi dan berjuta-juta mangsa lain yang dianggap sebagai Untermenschen (har. manusia hina) atau golongan tidak dikehendaki. Hitler dan rejim Nazi juga bertanggungjawab atas pembunuhan lebih 19.3 juta orang awam dan tawanan perang. Di samping itu, 28.7 juta askar dan orang awam terbunuh akibat konflik ketenteraan di medan perang Eropah. Jumlah kematian orang awam semasa Perang Dunia II tidak pernah berlaku sebelum ini dalam sejarah peperangan dan menjadikannya konflik paling berdarah dalam sejarah manusia.