Nabati

Vegetarianisme ialah amalan pemakanan yang mengecualikan segala daging haiwan termasuk ternakan, buruan, ikan, kerang-kerangan atau krustasia serta keluaran sampingan penyembelihan sambil menumpukan kepada hasil berasaskan sayuran dan tumbuhan (vegetarian atau mayur, dari makan sayur) sebagai ganti. Sebab-sebab memilih amalan vegetarian boleh berkaitan dengan moral, agama, budaya, etika, estetik, persekitaran, masyarakat, ekonomi, politik, citarasa, atau kesihatan.

Terdapat beberapa jenis pemakanan vegetarian ini, termasuk yang mengecualikan telur dan/atau mana-mana keluaran usaha haiwan seperti tenusu dan madu. Contohnya, amalan vegan mengecualikan kesemua produk haiwan dari pemakanan. Mengikut takrif yang lebih ketat, produk haiwan tidak digunakan sebagai pakaian juga, sama ada penghasilan pakaian atau benda-benda seumpamanya melibatkan nyawa haiwan atau tidak (tenusu, telur, madu, bulu, sutera, bulu kapas, dsb).

Pengambilan jenis makanan vegetarian didapati memuaskan keperluan khasiat untuk semua peringkat umur sepertimana pemakanan biasa berdaging jika dirancang dengan baik. Kajian-kajian selidik berskala besar telah membuktikan bahawa amalan vegetarian memanjangkan umur, menyihatkan badan, dan banyak mengurangkan risiko barah dan penyakit-penyakit lain.