Vamana Purana
Vamana Purana (Sanskrit: वामन पुराण, IAST: Vāmana Purāṇa) ialah teks Sanskrit purba yang berusia sekurang-kurangnya 1,000 tahun dan merupakan antara lapan belas Purana utama dalam agama Hindu. Teks ini dinamakan sempena salah satu penjelmaan Vishnu dan mungkin merupakan teks Vaishnava pada asalnya. Namun, manuskrip moden Purana ini yang masih ada lebih tertumpu kepada Shiva, meski pun mengandungi beberapa bab yang memuja Vishnu dan dewa-dewi Hindu lain. Teks ini dianggap sebagai teks Shaivisme. Selain itu, teks ini tidak banyak memiliki ciri-ciri sebuah Purana, sebaliknya ia kebanyakannya adalah koleksi Mahatmya (panduan perjalanan) ke tempat -tempat suci berkaitan Shiva di India, termasuk legenda dan mitologi.
Ini adalah sebuah Purana yang agak pendek dan disenaraikan dalam kalangan Maha Purana. Ia mungkin telah disusun pada zaman antara tahun Masehi 600-900. Versi yang ada sekarang mengandungi 5,400 ayat dalam 95 bab, walaupun menurut Matsya dan Vayu Purana, ia sebenarnya mempunyai 10,000 ayat.
Kemungkinan terdapat bahagian kedua Purana ini yang dikenali sebagai Brhad-Vamana-Purana, namun bahagian tersebut kini tidak lagi wujud.
Teks ini telah diceritakan oleh Resi Pulastya kepada Narada atas permintaannya.
Mengikut namanya, Purana ini berkaitan dengan jelmaan Vishnu sebagai Vamana, iaitu penjelmaan kelima dalam Dasavatara. Maka itu Purana ini dikategorikan sebagai teks Vaishnava. Walau bagaimanapun, kepentingan dan penghormatan yang sama turut diberikan kepada Siva dan Shakti.