Tuala wanita
Tuala wanita (bahasa Inggeris: sanitary napkin/towel/pad atau menstrual pad) ialah suatu bahan pelapik dalam seluar dalam untuk kaum perempuan untuk menyerap darah yang keluar daripada faraj sama ada berikutan mengalami haid, selepas melahirkan anak atau menjalani pembedahan serta keguguran kandungan. Pemakai menukar pelapik sebegini berdasarkan kekerapan darah menurun daripada faraj pemakai. Bahan ini adakalanya juga dipakai untuk mereka yang mempunyai masalah buangan air kecil putus-putus (urinary incontinence).
Tuala wanita seringkali tidak mampu dibeli di negara-negara membangun kerana harga yang tinggi sehingga kaum wanita terpaksa ikhtiarkan dengan bahan sedia ada malah terpaksa menggunakan kain buruk, tanah liat atau lumpur untuk menakung darah haid mereka. Namun, ada inisiatif dan inovasi yang mampu memudahkan penghasilan tuala wanita agar lebih mampu dibeli pada kos yang lebih murah.