Trưng Bersaudari

Trưng Trắc (tulisan Cina: 徵側, pinyin: Zhēng Cè) dan adiknya Trưng Nhị (徵貳, pinyin: Zhēng Èr) anak-anak seorang pembesar daerah Mê Linh (dalam Hanoi moden) berbangsa Lạc Việt di utara Vietnam moden. Mereka terkenal memimpin suatu pemberontakan melawan balatentera kerajaan Cina Han di muara Sungai Merah pada bulan Mac tahun 40 Masihi membalas dendam atas kematian suami Trắc, Thi Sách, juga seorang pembesar yang dihukum pancung oleh Su Ding, pembesar Jiaozhi. Pertarungan ini berlangsung selama tiga tahun di mana Trắc sendiri menaiki takhta sebagai ratu penguasa bergelar Ratu Trưng (徵女王 Trưng Nữ vương) menurut Babad Sejarah Viet Raya, manakala Nhị menjadi timbalannya (menurut sejarah lisan) atau penguasa bersama (menurut Việt Nam sử lược); tentera mereka ditangkap panglima Ma Yuan dan dihukum bunuh pancung pada 43 M, kepala-kepala mereka dipersembahkan di hadapan Maharaja Guangwu di istana semayaman Luoyang.

Kededua adik-beradik ini dianggap srikandi negara Vietnam. Tarikh kematian mereka pada tanggal 6 haribulan 2 dalam takwim tani Viet pernah dijadikan hari kebangsaan oleh pemerintah Vietnam Selatan dari tahun 1955 sehingga penyatuan dengan Vietnam Utara pada 1975.