Tamadun Etruria

Tamadun Etruria
  • 𐌓𐌀𐌔𐌄𐌍𐌍𐌀
  • Rasenna
900 SM–27 SM
Keluasan tamadun Etruria dan dua belas kota Liga Etruria
StatusNegara-negara kota
Bahasa yang umum digunakanBahasa Etruria
Agama
Agama Etruria
KerajaanKepenghuluan
Badan perundanganLiga Etruria
Era SejarahZaman Besi, Sejarah purba
• Budaya Villanova
900 SM
• Bandar-bandar Etruria terakhir rasmi diilhak empayar Rom
27 SM
Mata wangSyiling Etruria (bermula abad ke-5 SM)
Didahului oleh
Diganti oleh
Budaya Villanova Purba
Empayar Rom
Sekarang sebahagian dari

Tamadun Etruria merupakan sebuah ketamadunan yang didirikan para penduduk yang bertapak di kawasan lembangan Etruria di tengah Semenanjung Itali (yakni orang Etruria) dari sekitar 900 SM ke 27 SM dengan sistem politik gabungan negara-negara kota sendiri. Selepas menakluki tanah-tanah di sekelilingnya, jajahannya sampai ke Toscana, Umbria barat dan utara Lazio, begitu juga Lembah Po, Emilia-Romagna, tenggara Lombardia, selatan Veneto dan barat Campania.

Banyak buku telah ditulis mengenai asal usul mereka Namun, sarjana moden bersepakat bahawa orang Etruria sudah lama bertempat di kawasan tersebut sejak prasejarah. Bukti terawal yang boleh dikenal pasti sebagai budaya Etruria berasal dari sekitar 900 SM. Ini tempoh budaya Villanova Zaman Besi, dianggap sebagai fasa terawal tamadun Etruria, yang berkembang dari budaya Proto-Villanova Zaman Besi lewat yang wujud sebelum itu di kawasan yang sama, sebahagian daripada sistem budaya Padang Tempayan Abu Mayat di tengah Eropah. Tamadun Etruria menguasai Itali sehinggalah ia jatuh kepada Rom yang berkembang pada lewat abad ke-4 SM akibat Peperangan Rom-Etruria; orang Etruria diberikan kewarganegaraan Rom pada 90 SM, dan hanya pada 27 SM seluruh kerajaan Etruria diilhakkan ke dalam Empayar Rom yang baru diasaskan itu.

Tamadun ini mencapai keluasan terbesarnya sekitar 500 SM, tidak lama selepas Kerajaan Rom menjadi Republik Rom. Budayanya berkembang di tiga gabungan kota: Etruria (Toscana, Latium dan Umbria), Lembah Po dengan Alp timur, juga Campania. Liga mereka dikatakan oleh Titus Livius bertempat di utara Itali. Jajahan Etruria mengecil sedikit demi sedikit tetapi selepas 500 SM, kestabilan politik kuasa di semenanjung Itali teralih daripada kerajaan Etruria ke Republik Rom yang semakin berkuasa.

Contoh tulisan Etruria terawal yang diketahui ialah batu-batu bersurat yang ditemui di selatan Etruria yang ditarikhkan ke sekitar 700 SM. Orang Etruria menghasilkan sistem tulisan yang berdasarkan abjad Euboea, yang digunakan di Magna Graecia (kawasan pesisiran Itali Selatan). Bahasa Etruria masih lagi sedikit difahami pengkaji bahasa moden kini sekaligus menyukarkan kefahaman tentang masyarakat dan budaya mereka masih bergantung pada sumber-sumber Rom dan Yunani yang umumnya memusuhi mereka. Dalam sistem politik Etruria, kuasa terletak di setiap kotanya, mungkin juga dalam keluarga-keluarga pembesar. Pada kemuncak kuasa Etruria, golongan elit menjadi amat kaya dengan berdagang dengan orang Kelt di utara dan Yunani di selatan, juga mereka memenuhi makam-makam keluarga besar mereka dengan barangan mewah yang diimport dari luar.