Tahil
Tahil (Jawi: تهيل, ejaan lama تاهل) ialah satu unit sukatan berat digunakan di rantau-rantau Asia Timur dan Tenggara yang lebih kurang bersamaan dengan 37.8 gram, dan juga bermaksud jongkong tahil China (Cina: 両, liǎng dalam bahasa Mandarin, leung dalam bahasa Kantonis), sebagai sebahagian sistem sukatan dan matawang China.
Terdapat pelbagai piawaian sukatan tahil bergantung pada setempat dan jenis dagangan. Secara amnya, tahil perak beratnya kira-kira 40 gram. Sukatan kerajaan yang paling kerap digunakan ialah tahil kùpíng (庫平 "perbendaharaan") yang beratnya kira-kira 37.3 gram. Satu lagi sukatan komersial yang sering digunakan, iaitu tahil cáopíng (漕平) terdiri daripada perak kurang tulen yang beratnya 36.7 gram.