Skurvi

Saratan (bahasa Inggeris: scurvy, dimelayukan juga sebagai skurvi) adalah penyakit disebabkan kekurangan zat vitamin C (asid askorbik). Gejala awal ini termasuk kelemahan, merasa letih dan sakit lengan dan kaki sebelum ia boleh bertambah teruk dengan kemungkinan tinggi menurunnya bilangan sel darah merah, penyakit gusi, perubahan pada rambut, dan pendarahan dari kulit. Kesan sampingan boleh juga diburukkan dengan luka yang lambat sembuh, perubahan sikap, dan akhirnya kematian akibat jangkitan atau pendarahan. Penyakit ini diamati jarang berlaku jika dibandingkan dengan penyakit kekurangan nutrien lain. Ia berlaku lebih kerap di negara negara-negara membangun berkaitan dengan kekurangan zat makanan; kadar dalam kalangan pelarian turut dilaporkan pada kadar 5 hingga 45 peratus.

Penyakit saratan merupakan ancaman kesihatan utama terhadap para pelaut sehingga sebanyak 50 peratus pelaut yang dijangka menjadi mangsa dalam perjalanan utama semasa Zaman Pelayaran. Para pelayar Cina seawal zaman kerajaan Song sering memakan tauge yang ditumbuh di kapal-kapal sendiri untuk mengelakkan terkena sakit saratan, malah turut mengajarkan manfaat ini kepada para pelayar Melayu. Seorang pakar bedah Tentera Laut Diraja, James Lind, mengubah keadaan dengan ujikaji yang membuktikan bahawa penyakit saratan dapat dirawat dengan baik dengan buah sitrus pada tahun 1753. Walaupun begitu, cadangan ini tidak dilaksanakan dengan berkesannya sehingga tahun 1795 di mana pihak Tentera Laut Diraja diyakinkan membekalkan jus limau memenuhi keperluan para kelasi.