Sizigi

Ittisal (Arab: اِتِّصَال, rumi: ittiṣāl "penyambungan" terbitan kata kerja وَصَلَwaṣāla "menghubungkan") atau sizigi (bahasa Inggeris: syzygy daripada Yunani Kuno σύζυγος suzugos yang bermaksud "terikat") dalam konteks ilmu falak dan geografi merujuk kepada konfigurasi tiga objek cakerawala yang sebaris lurus dalam sebuah sistem tarikan graviti. Perkataan ini sering digunakan bagi merujuk kepada kedudukan Matahari, Bumi dan sama ada Bulan atau planet; apabila objek yang ketiga berada dalam kedudukan konjungsi (kesebarisan) ataupun bertentangan. Gerhana matahari dan gerhana Bulan berlaku pada masa sizigi, sama dengan peristiwa transit dan penghijaban. Istilah ini lazim digunakan apabila Matahari dan Bulan berada dalam konjungsi (bulan muda) ataupun dalam pertentangan (bulan purnama).

Perkataan "sizigi" juga digunakan secara amnya bagi memerikan konfigurasi atau tatabentuk planet yang menarik perhatian. Sebagai contoh, satu peristiwa menarik berlaku pada 21 Mac 1894 lebih kurang jam 23:00 GMT, apabila Utarid melintasi ("transit", dalam vernakular astronomi) Matahari apabila dilihat dari Zuhrah, sementara Utarid dan Zuhrah pula melintasi Matahari apabila dilihat dari Zuhal. Perkataan ini juga digunakan bagi memerikan keadaan apabila semua planet berada pada sisi yang sama relatif kepada Matahari mahupun planet-planet tersebut tidak berada dalam barisan yang lurus, seperti yang berlaku pada 10 Mac 1982.