Sistem pengurusan kandungan

Sistem pengurusan kandungan (Bahasa Inggeris: content management system (CMS)) ialah sebuah perisian komputer yang membantu pengguna-penggunanya dalam proses pengurusan kandungan. Sebuah CMS menguruskan pelbagai dokumen dan kandungan yang lain seperti imej dan sumber-sumber multimedia. Sebuah sistem pengurusan kandungan laman web ialah sebuah sistem pengurusan kandungan dengan ciri-ciri tambahan untuk mempermudahkan langkah-langkah untuk menerbitkan kandungan web ke dalam laman web.

Sistem pengurusan kandungan web biasanya digunakan sebagai tempat menyimpan, mengawal, dan menerbitkan dokumen-dokumen seperti artikel-artikel berita, manual pengguna, manual teknikal, panduan jualan, dan risalah-risalah penjualan. Sebuah sistem pengurusan kandungan boleh menyokong ciri-ciri berkenaan:

  • Mencipta dan mengimport dokumen serta bahan-bahan multimedia.
  • Mengenal pasti pengguna-pengguna utama serta tanggungjawab pengurusan kandungan mereka.
  • Kebolehan untuk membahagikan peranan serta tanggungjawab dalam kategori-kategori kandungan yang berbeza.
  • Mentakrifkan tugas-tugas penting supaya pengurus kandungan dapat diberitahu tentang sebarang pengubahsuaian dalam isi kandungan.