Sinisisme (falsafah)

Sinisisme (Yunani Purba: κυνισμός; Jawi: سينيسيسمى) ialah satu aliran pemikiran dalam falsafah Yunani purba, yang bermula pada Zaman Klasik dan berlanjutan ke zaman Helenistik serta Zaman Empayar Rom. Menurut fahaman Sinik, manusia ialah makhluk berakal, dan tujuan hidup serta cara untuk mencapai kebahagiaan adalah dengan mencapai nilai murni, selari dengan fitrah, dengan mengikut naluri akal secara semula jadi melalui hidup sederhana dan bebas tanpa rasa malu daripada kekangan sosial. Golongan Sinik (Yunani Purba: Κυνικοί, Latin: Cynici) menolak semua keinginan biasa terhadap kekayaan, kuasa, kemasyhuran, pengiktirafan sosial, pemaksaan norma sosial, dan harta duniawi serta mereka juga mencabar norma tersebut secara terbuka dan sinis di khalayak umum.

Ahli falsafah pertama yang merumuskan tema-tema ini ialah Antisthenes, yang merupakan murid kepada Socrates pada akhir 400-an SM. Beliau diikuti oleh Diogenes, yang tinggal dalam sebuah tempayan seramik di jalanan Athens. Diogenes mengamalkan Sinisisme secara melampau dengan demonstrasi awam yang terkenal tentang penolakan terhadap konformiti, sehingga beliau dianggap sebagai tokoh Sinik arketipikal. Beliau kemudiannya diikuti oleh Crates dari Thebes, yang menyerahkan sejumlah besar hartanya supaya dapat hidup dalam kemiskinan ala Sinik di Athens.

Pengaruh Sinisisme semakin merosot selepas abad ke-3 SM, namun ia mengalami kebangkitan semula dengan kebangkitan Empayar Rom pada abad pertama. Golongan Sinik boleh ditemui meminta sedekah dan berceramah di serata kota empayar, dan idea asetisisme serta retorik yang serupa turut muncul dalam Kristian awal. Menjelang abad ke-19, penekanan terhadap aspek negatif falsafah Sinik menyebabkan pemahaman moden tentang sinisisme ditakrifkan sebagai kecenderungan untuk tidak mempercayai keikhlasan atau kebaikan motif dan tindakan manusia.