Sindrom usus rengsa
Sindrom usus rengsa atau juga dikenali sebagai irritable bowel syndrome (IBS) merupakan gangguan terhadap fungsi usus yang ditandai dengan sakit perut yang bukan sahaja berulang-ulang tetapi juga kronik. Antaranya perut memulas, senak, kembung, angin dan perubahan tabiat membuang air besar. Terdapat juga pesakit yang mengalami cirit-birit, sembelit atau gabungan kedua-duanya sekali. Kehadiran darah dalam najis perlu diberikan perhatian serius kerana ia bukan ciri-ciri sindrom usus rengsa.
Pembuangan air besar yang normal adalah berbeza-beza di antara tiga ketul najis sehari kepada minimum jumlah yang sama sepanjang minggu. Sekiranya tidak, bahan-bahan kumuh yang tersimpan di dalam badan seseorang dalam jangka masa yang lama boleh mendatangkan pelbagai jenis penyakit kepada mangsanya.
Jika orang sihat membuang air besar sama ada satu atau dua kali sehari, ada pesakit sindrom usus rengsa yang melakukannya dua kali seminggu atau hanya sekali dalam tempoh dua minggu. Malah dalam kes cirit-birit, terdapat penghidap sindrom usus rengsa yang membuang air besar sehingga 10 kali sehari tetapi yang keluar berupa cecair sahaja. Sungguhpun begitu, penghidap sindrom usus rengsa masih berasa belum puas dan akan mengulanginya selepas beberapa jam kemudian.
sindrom usus rengsa merupakan masalah perubatan yang kedua kerap diadukan selepas selesema sekali gus menjadi antara penyebab utama ketidakhadiran di tempat kerja. Wanita lebih cenderung mengalami masalah ini berbanding lelaki pada nisbah 2:1 terutamanya sebelum dan semasa datang bulan.