Simen

Simen (Mal., Sin.; Jawi: سيمين) atau semen (Ind.) ialah komponen utama yang penting dalam industri pembinaan. Ia merupakan sejenis debu lembut yang mengeras apabila dicampur dengan air disebabkan tindak balas kimia yang menukarkan debu simen menjadi hablur-hablur yang saling berpaut sehinggalah simen itu menjadi keras.

Kedua-dua "simen" dan "semen" (masing-masing pinjaman Inggeris dan Belanda cement yang berbeza sebutan) datang daripada akar bahasa Latin caementum, yakni bahan sampingan termasuklah abu gunung berapi dan ketulan batu bata ditambah kepada sebatian yang digunakan para tukang batu Rom Purba untuk menghasilkan bahan binaan khusus bernama opus caementicium.