Sesar bumi

Sesar, sesaran atau gelinciran dalam konteks geologi adalah peretakan pada satah permukaan bumi yang berlaku akibat pemindahan pergerakan besar-besaran isipadu batu akibat penggeseran antara plat-plat tektonik mewujudkan suatu daya tegasan yang kemudianya dilepaskan. Pelepasan tenaga seiring dengan peretakan hasil daya ini adalah penyebab kebanyakan gempa bumi.

Satah sesar ialah satah yang mewakili permukaan patah sesar. Surih sesar atau garis sesar ialah tempat di mana sesar itu boleh dilihat atau dipetakan di permukaan. Surih sesar juga garisan yang biasa diplot pada peta geologi untuk mewakili sesar.

Zon sesar ialah sekumpulan sesar selari. Walau bagaimanapun, frasa ini juga digunakan untuk zon batuan hancur di sepanjang satu sesar. Pergerakan yang berpanjangan di sepanjang sesar yang jaraknya rapat boleh menyukarkan pembezaan, kerana batuan di antara sesar bertukar menjadi lapisan batuan yang terikat dan hancur sedikit demi sedikit.