Sejarah George Town, Pulau Pinang
George Town, ibu negeri Pulau Pinang, merupakan bandar kedua terbesar di Malaysia dan pusat ekonomi bagi wilayah utara negara ini. Sejarah George Town bermula dengan penubuhannya oleh Kapten Francis Light dari Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1786. Diasaskan sebagai pelabuhan bebas, George Town menjadi penempatan British pertama di Asia Tenggara dan berkembang pesat pada abad ke-19 sebagai salah satu entrepĂ´t utama British di rantau ini. Ia pernah menjadi ibu kota bagi Negeri-Negeri Selat, sebuah Tanah jajahan Mahkota British yang turut merangkumi Singapura dan Melaka.
Semasa Perang Dunia Kedua, George Town telah diduduki oleh Empayar Jepun dari tahun 1941 hingga 1945. Selepas tamat perang, ia menjadi bandar pertama di Tanah Melayu British yang dibebaskan melalui Operasi Jurist. Selepas pembubaran Negeri-Negeri Selat pada tahun 1946, Pulau Pinang diserap ke dalam Persekutuan Tanah Melayu (kini Malaysia). Walaupun terdapat gerakan pemisahan yang berasal dari bandar ini, penggabungan dengan Tanah Melayu diteruskan dan persekutuan tersebut mencapai kemerdekaan dari Empayar British pada tahun 1957.
George Town menjadi bandar pertama di Tanah Melayu, dan seterusnya Malaysia, apabila ia diberikan status bandar oleh Ratu Elizabeth II pada tahun 1957. Selain itu, pusat bandar ini telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO sejak tahun 2008. Hari ini, bandar ini yang terkenal dengan kepelbagaian budaya, seni bina kolonial dan makanan jalanan, merupakan destinasi pelancongan yang berkembang pesat dan masih menjadi pusat kewangan bagi utara Malaysia.