Sejarah Belgium
Kawasan yang dikenali sebagai Belgium pada hari ini telah menjadi tumpuan sejak zaman Rom lagi. Sejak abad ke-13 dan ke-14, kedudukan Belgium semakin menonjol apabila perdagangan kain telah membawa bandar Bruges, Ghent dan Ypres menjadi terkenal dalam kalangan pedagang antarabangsa. Apabila Protestanisme tersebar di Eropah pada abad ke-16, Negara-Negara Pamah (kini ialah Belgium, Belanda dan Luxembourg) mula-mula menerima tamparannya terutamanya dalam bentuk Calvinisme. Sebahagian besar masyarakat berasa kesal akan pemerintah mereka pada masa itu, Philip II dari Sepanyol yang merupakan penganut Katolik fanatik. Dari tahun 1568, beberapa siri peperangan yang berlanjutan selama 80 tahun telah menyaksikan Holland dan sekutu-sekutunya mengisytiharkan kemerdekaan di bawah Protestantisme manakala Belgium dan Luxembourg pula kekal di bawah pemerintahan Katolik – bermula dengan Sepanyol sebelum beralih kepada Austria Habsburg. Pemerintahan Perancis yang singkat namun membinasakan mula bertapak sebelum ia diikuti oleh Revolusi Perancis yang membawa kepada kemusnahan biara-biara kebanggaan mereka, yang sebelum ini ia memainkan peranan utama dalam perkembangan ekonomi luar bandar. Khususnya di Liège, pemerintahan keuskupan selama 800 tahun akhirnya berakhir. Selepas kekalahan Napoleon pada tahun 1815 (di Waterloo, berhampiran Brussels), Belanda menguasai Belgium selama 15 tahun. Belgium Katolik berpisah daripada Belanda Protestan pada tahun 1830, bersama-sama dengan sebahagian Luxembourg, manakala sebahagian lagi kekal bersama Belanda sehingga tahun 1890.
Pada masa itu, Belgium dilihat mengalami perkembangan yang pesat melalui perindustrian sambil dirangsang oleh aset kekejaman Raja Léopold II dalam merobek koloninya, Congo.
Dalam Perang Dunia Pertama, Belgium secara rasminya mengekalkan kedudukan neutralnya tetapi Jerman tetap melancarkan pencerobohan. Flanders Barat menjadi medan pertempuran berdarah dengan mengorbankan ribuan orang dan memusnahkan bandar-bandar termasuklah Ypres yang kaya dengan sejarah. Dalam Perang Dunia Kedua, Belgium menjadi saksi pertempuran yang hebat sekali lagi apabila Pihak Berikat cuba untuk mengusir penjajah Jerman Nazi. Ardennes (termasuk Luxembourg) merupakan babak serangan terakhir Hitler semasa Krismas pada tahun 1944. Selepas dua perang dunia, negara-negara Benelux bersama-sama muncul dalam meneraju keselamatan dan integrasi Eropah. Brussels kini menjadi ibu pejabat bagi Kesatuan Eropah dan NATO.