Saudari Nivedita

Saudari Nivedita atau Sister Nivedita (28 Oktober 1867 – 13 Oktober 1911) adalah seorang pekerja sosial, penulis, pendidik, dan pengikut Swami Vivekananda yang berasal dari keturunan Scot-Irish. Nama asalnya ialah Margaret Elizabeth Noble. Beliau menghabiskan masa awal kehidupannya di Ireland. Berasal dari sebuah keluarga Kristian yang alim, Margaret Noble telah aktif dalam pelbagai aktiviti kebajikan sejak kecil. Beliau menjadi seorang guru dan kemudian membuka sebuah sekolah persendirian. Pada tahun 1895, beliau bertemu dengan Swami Vivekananda di London dan mulai mengikuti ajarannya. Pada tahun 1898, Cik Noble menerima jemputan Swami Vivekananda untuk pergi ke India. Di India, Swami Vivekananda menamakan Cik Noble sebagai 'Nivedita' (bermaksud "Yang Berbakti kepada Tuhan") dan memberinya ikrar Brahmacharya (ikrar kebujangan sepanjang hayat) pada 25 Mac 1898. Pada November 1898, Nivedita membuka sebuah sekolah perempuan di Baghbazar, Kolkata. Nivedita berhasrat untuk memberikan pendidikan kepada golongan perempuan yang ketika itu dinafikan sebarang pendidikan asas. Pada tahun 1899, Nivedita menerima sahutan Vivekananda untuk melakukan kerja-kerja bantuan bagi orang-orang miskin yang ketika itu ditimpa wabak epidemik. Nivedita menjadi salah seorang pembantu Swami Vivekananda dalam memajukan pertubuhan Ramakrishna Mission yang masih baru. Selepas kematian Swami Vivekananda, Nivedita mula bergiat cergas dalam gerakan kebebasan India. Pada 13 Oktober 1911, Saudari Nivedita meninggal dunia di Darjeeling. Memorialnya berbunyi begini, "Saudari Nivedita, yang telah menyerahkan segalanya untuk India, berada di sini."