Saluran paip
Saluran paip atau talian paip ialah satu sistem perpaipan yang mengangkut cecair atau gas secara jarak jauh. Data terkini pada tahun 2014 mengemukakan jumlah panjang saluran paip seluruh dunia merentasi 120 buah negara yang kurang daripada 2,175,000 batu (3,500,000 km). Daripada jumlah panjang saluran paip tersebut, 65% ada di Amerika Syarikat, manakala 8% pula di Rusia, serta 3% di Kanada, maka sejumlah 76% daripada semua saluran paip di dunia berada di ketiga-tiga negara ini. Atribut utama kepada pencemaran daripada saluran paip adalah disebabkan oleh kakisan dan kebocoran.
Angka tinjauan rentas negara yang tercatat pada Jurnal Perpaipan dan Gas menunjukkan bahawa 118,623 batu (190,905 km) saluran paip tersebut sedang dirancang atau dalam pembinaan. Daripada jumlah panjang tersebut, sebanyak 88,976 batu (143,193 km) adalah fasa perancangan dan reka bentuk manakala sebanyak 29,647 batu (47,712 km) pula merupakan cerminan saluran paip dalam pelbagai peringkat pembinaan. Cecair dan gas diangkut dalam saluran paip, dan sebarang bahan yang stabil secara kimia boleh dihantar melalui saluran paip.
Saluran paip wujud untuk pengangkutan bahan-bahan seperti petroleum mentah atau bertapis, bahan api (seperti minyak, gas asli dan biofuel), lain-lain jenis cecair (termasuk kumbahan, buburan tinja, air, bir, air panas atau wap air untuk jarak yang lebih pendek), serta sistem pneumatik yang membolehkan penjanaan tekanan sedutan untuk kerja tertentu dan untuk mengangkut objek pepejal. Saluran paip berguna untuk mengangkut air minuman atau pengairan pada jarak yang jauh apabila ia perlu bergerak ke atas bukit, ataupun apabila terusan atau saluran menjadi pilihan yang buruk disebabkan oleh pertimbangan penyejatan, pencemaran atau kesan alam sekitar.
Saluran paip minyak diperbuat daripada tiub keluli atau plastik yang biasanya ditanam dalam tanah. Minyak tersebut digerakkan melalui saluran paip oleh stesen pam di sepanjang saluran paip. Gas asli (dan bahan api bergas yang seakan dengannya) diberi tekanan menjadi cecair yang dikenali sebagai cecair gas asli (NGL). Saluran paip gas asli dibina daripada keluli karbon. Pengangkutan saluran paip hidrogen pula merupakan pengangkutan hidrogen melalui paip. Saluran paip ialah salah satu cara paling selamat untuk mengangkut bahan berbanding melalui jalan raya atau kereta api, makanya apabila dalam peperangan, saluran paip sering menjadi sasaran serangan tentera.