Rangkaian Lebuh Raya Asia
Projek Rangkaian Lebuh Raya Asia (AH) adalah projek kerjasama antara negara di Asia dan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial bagi Asia dan Pasifik Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCAP) bagi memperbaiki mutu sistem jalan raya dan lebuh raya di Asia. Projek ini adalah satu daripada 3 "tiang" utama bagi projek Pembangunan Pengangkutan Darat Asia (ALTID), dikuatkuasakan oleh Suruhanjaya ESCAP dalam persidangan ke-48 pada tahun 1992 yang merangkumi Rangkaian Lebuh Raya Asia, Kereta Api Rentas Asia (TAR) serta penyediaan kemudahan pengangkutan darat. Projek tersebut mula dicadangkan oleh PBB pada 1959 dengan matlamat untuk merancakkan perkembangan pengangkutan jalan raya antarabangsa di Asia. Pada fasa permulaan (1960-1970) terdapat sedikit perkembangan projek, namun perkembangan projek menjadi perlahan apabila bantuan kewangan dihentikan pada tahun 1975.
Perjanjian Antarabangsa Rangkaian Lebuh Raya Asia (IGA) dimeterai pada 18 November 2003 oleh Mesyuarat Antara Kerajaan; IGA turut menyertakan Annex I bagi mengenal pasti 55 laluan Lebuh Raya Asia yang merangkumi 32 negara anggota dengan jumlah jarak sepanjang 87,500 batu (140,000 km), serta Annex II bagi penetapan "Klasifikasi dan Piawaian Rekabentuk". Semasa Mesyuarat Suruhanjaya ESCAP sesi ke-60 di Shanghai, China pada April 2004, Perjanjian IGA telah ditandatangani oleh 23 buah negara. Setakat tahun 2007, 28 negara telah menandatangani perjanjian tersebut.