Raja-raja Yehuda

Raja-raja Yehuda (Jawi: راج-راج يهودا) ialah raja-raja yang memerintah Kerajaan Yehuda purba, yang dibentuk sekitar 930 SM, menurut Alkitab Ibrani, ketika Kerajaan Bersatu Israel berpecah apabila rakyat Kerajaan Israel utara menolak Rehabeam sebagai raja mereka, menjadikan baginda raja Yehuda sahaja.

Ibu kota Kerajaan Yehuda ialah Baitulmuqaddis. Semua raja Yehuda tinggal dan mangkat di Yehuda kecuali Ahazia (yang mangkat di Megido di Israel), Yoahas (yang mangkat sebagai tawanan di Mesir) dan Yekhonya dan Zedekia yang dibawa keluar negeri sebagai tawanan Babylon.

Yehuda ditakluki pada tahun 587 atau 586 SM, oleh Empayar Babylon Baru di bawah Nebuzaradan, kapten pengawal peribadi Nebukadnezar. Dengan golongan bangsawan diusir dan Baitulmuqaddis serta Kuil Sulaiman dimusnahkan, Kerajaan Yehuda lalu runtuh.