Pilihan raya persekutuan Kanada 2021

Pilihan raya persekutuan Kanada 2021 (secara rasmi pilihan raya umum Kanada ke-44) diadakan pada 20 September 2021 untuk memilih wakil-wakil Dewan Rakyat Kanada dalam Parlimen Kanada ke-44. Writ pilihan raya telah diusulka oleh Gabenor Jeneral Kanada Mary May Simon pada 15 Ogos ketika Perdana Menteri Justin Trudeau memohon pembubaran Parlimen untuk membuka ruang kepada pilihan raya secara awal.

Dengan ini, Trudeau memenangi penggal ketiganya sebagai perdana menteri serta membentuk kerajaan minoriti kedua.

Sungguhpun Parti Liberal mengharapkan pembentukan kerajaan majoriti untuk mentadbir secara sendiri, keputusan yang diperoleh secara kasarnya tidak jauh berbeza berbanding dengan situasi pada pilihan raya 2019. Parti Liberal memenangi bilangan kerusi terbanyak dengan 159 - gagal melepasi kuota 170 kerusi yang diperlukan untuk memperoleh majoriti, dan oleh itu, perlu membentuk kerajaan minoriti dengan sokongan parti-parti lain. Parti Liberal mencatat rekod peratusan terendah yang diperoleh bagi sebuah parti bakal pemerintah, dan gagal memperoleh undiah popular yang kini diperoleh Parti Konservatif.

Parti Konservatif yang dikepalai Erin O'Toole masih kekal dengan 119 kerusi dan kekal bertindak sebagai Pembangkang Rasmi. Bloc Québécois dengan Yves-François Blanchet sebagai ketua memenangi 33 kerusi. Parti Demokratik Baru Kanada milik Jagmeet Singh pula mendapat 25 kerusi. Sementara itu, Parti Hijau kekal dengan dua kerusi, tetapi Annamie Paul kalah buat kali ketiga dalam pertandingannya di Toronto Centre selaku calon tempat keempat; parti itu memperoleh 394,000 undian di seluruh Kanada dan memperoleh 2.3% undian negara, sepertiga jumlah yang diperoleh pada pilihan raya 2019. Dengan itu, Paul meletak jawatan selaku ketua parti seminggu selepas pilihan raya. Parti Rakyat gagalm memenangi sebarang kerusi dengan ketua parti Maxime Bernier kalah kali kedua dalam pemilihan di Beauce. Walaupun begitu, mereka meperoleh kira-kira 842,000 undian, atau hampir 5% jumlah undian negara.