Peperiksaan awam diraja

Peperiksaan awam diraja
Tulisan Cina Tradisional科舉
Tulisan Cina Ringkas科举
Hanyu Pinyinkējǔ
Maksud harfiahpemetikan bidang

Peperiksaan awam diraja di China (Cina Tradisional: 科舉, Cina Ringkas: 科举, pinyin: kējǔ) dilakukan dengan tujuan menilai dan memilih mana-mana orang berkelayakan menjadi pegawai awam di kerajaan tersebut. Peperiksaan ini dilaksanakan untuk memastikan pengukuhan pengetahuan sastera dan persuratan serta kepercayaan dan kefahaman adat dalam kalangan pegawai negeri sebagai suatu penyatu fahaman dan kuasa serata China; kemampuan menaikkan pangkat diri melalui pendidikan turut mengukuhkan kedaulatan raja tanpa bergantung kepada kuasa bangsawan yang terwaris di mana kuasa tersebut diimbangi darjat sarjana berpengalaman dan berilmu tinggi.

Konsep ini mula dikembangkan pada awal sejarah China tetapi bentuk peperiksaan bertulis mula diperkukuhkan pada pertengahan dinasti Tang sehingga menguat dominan pada zaman dinasti Song. Ia bertahan hingga dihapuskan dalam pembaharuan dasar-dasar kerajaan pada hujung zaman dinasti Qing pada tahun 1905; lagi-lagi semasa pembaharuan diperkenalkan Yuan Shikai, Yin Chang dan Zhang Zhidong.Pendekatan ini turut mempengaruhi seberapa kerajaan serantau yang didedahkan kepada budaya alam Cina termasuk Jepun (walaupun sebentar), Korea, Ryūkyū, dan juga Vietnam.

Selain Asia, laporan oleh mubaligh dan diplomat Eropah memperkenalkan sistem peperiksaan China kepada dunia Barat, lalu mendorong Perancis, Jerman dan Syarikat Hindia Timur British (EIC) untuk menggunakan kaedah serupa dalam pemilihan kakitangan. Melihat kejayaan awal sistem ini dalam EIC, kerajaan British mengambil sistem saringan yang sama bagi memilih kakitangan awam di seluruh United Kingdom pada tahun 1855. Amerika Syarikat turut mewujudkan program serupa untuk jawatan kerajaan tertentu selepas tahun 1883.